Proses pengajaran dan pembelajaran boleh dijadikan lebih menarik dengan melibatkan kolaborasi bersama pihak industri. Keadaan ini bukan sahaja memberikan pendedahan sebenar kepada pelajar malah menghubungkan jaringan antara UiTM dan pihak luar. Satu webinar bagi subjek Tingkah laku Organisasi antara Fakulti Pengurusan Perniagaan Kampus Raub dengan syarikat Kreatif Planet Sdn Bhd telah berlangsung pada 9 Jun 2023. Panel jemputan adalah En Faidzal Zaid merupakan CEO Kreatif Planet Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan snek dikenali sebagai TEEGA House of Snack. Webinar ini dihadiri oleh para pelajar Bahagian 4 Diploma Pengurusan Perniagaan bagi memenuhi keperluan kursus mereka.
Generasi Z adalah meraka yang lahir diantara tahun 1999 sehingga 2010 merupakan golongan yang mula memasuki pasaran kerja dan sebahagiannya lagi masih dalam pengajian. Jurang generasi antara pekerja lama dan generasi ini telah memberi satu cabaran baru kepada para majikan untuk menutupi jurang ini. Menurut En Faidzal Faiz, terdapat beberapa ciri khas pekerja dari Generasi Z yang biasanya dihadapi antaranya sangat sukakan teknologi, suka bersendiri berbanding berkomunikasi secara bersemuka, suka perkara yang cepat, ringkas dan mudah, sukakan perkara yang santai dan tidak terlalu formal serta suka mencuba perkara yang baru. Ciri – ciri ini sudah tentu mempunyai kebaikkan namun dalam masa yang sama turut boleh menjadi isu terutama apabila berinteraksi dengan rakan sekerja yang lebih senior.
Perkongsian En Faidzal adalah sekitar isu pengurusan stres (tekanan) di tempat kerja sama ada yang dihadapi oleh majikan mahupun pekerja sendiri. Sebagai majikan sudah tentulah menjadi perkara penting untuk para pemimpin mahupun rakan sekerja yang senior untuk memahami budaya kerja dan karektor golongan Generasi Z. Kemahiran mereka menggunakan teknologi dan kepantasan mereka dalam memahami teknologi baru haruslah diambil peluang dalam menghasilkan idea atau kerja yang lebih efisen. Sikap mereka yang ingin cepat juga sebenarnya adalah ciri yang penting kerana dapat mengurangkan masa yang diperlukan dalam menyiapkan satu-satu kerja. Jika pekerja yang lebih senior memerlukan masa yang agak lama yang sebenarnya kerja itu boleh diselesaikan dengan masa yang singkat kerana ketelitian yang tinggi diberikan kepada kerja tersebut.
Mungkin perkara seumpama ini tidak disukai oleh golongan senior di mana ketelitian dalam satu-satu kerja adalah sangat penting. Namun, adalah perlu dipastikan bagi kerja-kerja rutin dan berulang di mana prosesnya telah diketahui sudah tentu tahap ketelitian yang diperlukan telah berkurang. Pada masa yang sama, teknologi sekarang telah semakin canggih telah memudahkan banyak kerja-kerja yang dahulunya mungkin agak sukar dilakukan. Sebagai contoh penggunaan artificial intelligence atau kecerdasan buatan seperti ChatGPT, Microsoft Bing, mahupun Google Bard AI dapat membantu tugas-tugas penjanaan idea, pengkodan, merangka pelan dan sebagainya dalam bentuk perbualan.
Walaubagaimanapun, pendedahan kepada teknologi yang terlalu banyak telah menyebabkan kemahiran komunikasi golongan ini semakin terjejas. Golongan ini didapati tidak tahu mengarang emel atau mesej ringkas dengan baik. Emel dan mesej ringkas di aplikasi WhatsApp merupakan media komunikasi formal di tempat kerja yang memerlukan seni seperti sapaan, pengenalan diri, isi kandungan mesej dan diakhiri dengan ucapan terima kasih. Malangnya bagi golongan ini yang menggemari gaya ringkas kebiasaanya terlepas pandang seni berkomunikasi terutama apabila berhubung dengan golongan lebih berumur, orang atasan dan juga pelanggan.
Justeru itu, Generasi Z perlu mempersiapkan diri dalam menangani cabaran di tempat kerja kelak. Kemahiran dan kelebihan yang ada pada golongan ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh penguasaan kepada teknologi perlulah disalurkan kepada penambahbaikkan hasil kerja yang mana ini tentu sahaja akan memberi sumbangan yang besar kepada organisasi. Keinginan untuk mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan mungkin disalahfaham oleh sebahagian senior yang melihat golongan ini gemar bersantai-santai dan tidak serius dalam menjalankan kerja. Bagi golongan ini, hal berkaitan kerja tidak semestinya berlangsung dalam keadaan serius sepanjang masa dan boleh dilaksanakan dalam keadaan yang tenang. Isu kesihatan mental yang banyak dihadapi oleh generasi ini mungkin menjadi penyebab kepada mereka untuk tidak mahu bekerja dalam tekanan namun sikap mereka yang berlengah dan santai itu difahami sebagai malas dan tidak bersungguh pula.
Menurut En Faidzal Faiz, pelajar yang masih di institusi pengajian tinggi perlu mengambil tindakan untuk menambahbaik potensi diri. Antaranya, banyak melibatkan diri dengan aktiviti berpersatuan dan berkumpulan untuk melatih diri dengan kemahiran komunikasi dan kepimpinan. Generasi ini juga perlu bersikap terbuka dan belajar dari golongan yang lebih tua untuk memahami persepsi generasi lain supaya jurang boleh dikecilkan. Disamping itu, tugasan di universiti sebenarnya adalah latihan untuk mempersembahkan idea dalam bentuk penulisan. Beliau berpesan bahawa walaupun teknologi semakin canggih namun idea dan kemahiran mengarang dan menulis adalah sangat penting. Pelajar perlu mengambil peluang untuk belajar cara mengarang dengan olah sendiri kerana di situ kunci kreativiti dan penjanaan idea yang penting dalam dunia perniagaan.
Nota: En Faidzal Faiz adalah CEO Kreatif Planet Sdn Bhd juga merupakan jurulatih keusahawanan. Beliau boleh dihubungi di hi.teega[at]gmail.com