KOLABORASI ANTARABANGSA MELALUI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) BERSAMA HAYRAT FOUNDATION TURKIYE BUKA PELUANG PELBAGAI AKTIVITI ILMIAH DAN KEMANUSIAAN

Akademi Pengajian Islam Kontemporari (UiTM Cawangan Pahang) telah melaksanakan program Iftar Pelajar Asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas 3.0 bersama YBrs. Prof. Dr. Mohd Sazili bin Shahibi (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar-HEP) pada 13 April 2023 (Isnin) bertempat di Masjid Uwais Al-Qarni, UiTM Cawangan Pahang. Program ini diadakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Unit Hal Ehwal Islam dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pada tahun ini seramai 150 orang peserta melibatkan 144 orang mahasiswa kategori asnaf dan 6 orang mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) telah ditaja dalam majlis berbuka yang dianjurkan. Selain itu lapan (8) orang warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bersama pengerusinya En. Jalaluddin bin Long telah diundang bersama-sama di dalam program ini. Majlis ini bertambah bermakna apabila program iftar tahun ini turut dihadiri oleh Prof Madya Dr Shahsuzan bin Zakaria (Pengarah Pembangunan Pelajar), YBhg. Prof. Dr. Hajah Zuraeda Ibrahim (Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar), dan Tuan Mohd Syafiq Md Shafii (Ketua Pegawai Eksekutif Hayrat Relief Malaysia). Majlis iftar dimeriahkan lagi dengan kehadiran pihak pengurusan kanan UiTM Cawangan Pahang, Prof Ts Dr. Mohd Ilham Adenan (Rektor UiTM Cawangan Pahang), Dr. Hj Mohd Kamal Azman Jusoh (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTMCPh), Prof Madya Dr. Hjh Nazirah Ramli (Timbalan Rektor HEA UiTMCPh), Prof Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman (Timbalan Rektor PJI UiTMCPh), barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN UiTMCPh), KPP ACIS UiTMCPh, Ketua-ketua Pusat Pengajian UiTMCPh, Qari Akademi Qurra’ Tilmiz Saifullah dan wakil-wakil Hayrat Relief Malaysia.

Antara tujuan utama majlis ini dianjurkan bagi menghayati sunnah Rasulullah SAW melalui amalan tajaan berbuka puasa bagi memupuk rasa kasih dan sayang antara pelbagai pihak di dalam kampus. Selain itu membina hubungjalin dan kerjasama dua hala dalam aspek kebajikan bersama pihak luar di samping menghayati aspek kekeluargaan sesama insan.

Program tajaan Iftar kepada kumpulan mahasiswa asnaf oleh Hayrat Relief Malaysia merupakan program tahunan mulai tahun 2021 sejak MOU terjalin antara UiTM dan Yayasan Hayrat Turkiye. Hayrat Relief Malaysia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, berorientasikan kebajikan dan pendidikan bekerjasama dengan Yayasan Hayrat Turkiye dan Persatuan Hayrat Bantuan Kemanusiaan Turkiye (Hayrat Insani Yardim) sebuah NGO yang berpusat di Istanbul. Yayasan Hayrat Turki mempunyai beberapa pecahan pertubuhan: Hayrat Publication, Hayrat Humanitarian Aid Association, The International Scientific Research Association dan Hayrat International Student Association.

Program iftar ini merupakan kesinambungan program sangkutan profesional salah seorang akademia ACIS di Isparta, Turkiye pada November 2019 yang membawakan kepada Kolaborasi Antarabangsa UiTM Cawangan Pahang dan Yayasan Hayrat Turkiye pada Julai 2020. Antara program keilmuan lain yang telah diadakan ialah Webinar Antarabangsa Bersiri – Qalbun Rabbani pada 18 Disember 2020 hingga 26 Mac 2021 dan Simposium Adab Dalam Pendidikan Pasca Covid-19 pada 11 November 2021. Pelbagai program melibatkan pensyarah dan pelajar telah dirancang dan akan dirancang untuk diadakan pada masa hadapan bagi menambah ilmu pengetahuan dalam aspek kemanusiaan, pendidikan dan kerohanian.