KMK Mart Permudah Urusan Pelajar Kolej Kediaman Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang Kampus Jengka

KMK MART merupakan sebuah perniagaan yang dijalankan oleh pelajar di bawah seliaan Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang. KMK MART ini telah mula beroperasi pada 17 Oktober 2022 yang lepas. Operasi utama kedai ini adalah membekalkan barangan keperluan harian kepada pelajar-pelajar yang mendiami kolej kediaman UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Antara objektif KMK MART ini ditubuhkan adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk mengendali sesebuah perniagaan peruncitan. Di sini, ilmu keusahawanan dan pengurusan dititipkan kepada pelajar-pelajar bermula dari merancang, mengurus, mengarah dan mengawal aktiviti yang berkait dengan urus niaga. Selain itu, tujuan KMK MART ini ditubuhkan adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan terutamanya pelajar-pelajar dalam golongan B40 agar sumber pendapatan yang diperoleh dapat membantu kelangsungan hidup mereka di universiti. Terdapat dua orang Mentor yang mengawal selia di samping memberi dorongan dan sokongan agar para pelajar dapat mengendalikan KMK MART ini dengan jayanya iaitu Puan Normala binti Ismail dan Encik Mohamad Kamil Ariff bin Dato’ Khalid.

Pembukaan KMK MART yang dibuka pada setiap hari kecuali hari Sabtu dan Cuti Semester bermula jam 5 petang hingga jam 9 malam ini memberi manfaat kepada lebih 3,000 penghuni kolej kediaman sekitar yang ingin mendapatkan barangan keperluan harian tanpa perlu meninggalkan kampus. Membawakan konsep kedai pelbagai barangan keperluan, KMK MART menawarkan barangan pada harga yang berpatutan dengan mengambil kira keperluan pelajar dan penghuni kolej berkenaan.

Sehingga kini sambutan yang diperoleh daripada para pelajar terhadap KMK MART ini sangat positif dan memberangsangkan. KMK MART berharap agar dapat membuka cawangan di kolej kediaman siswi di samping mengembangkan perniagaan berkonsepkan runcit dan kafe, photostat dan percetakan bagi memudahkan urusan harian pelajar. KMK MART juga berazam untuk menyedia dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sekali gus menjadi β€˜pendidik’ kepada pelajar-pelajar dalam bidang keusahawanan.