Sekali lagi Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah menganjurkan Klinik Latihan Ilmiah pada 23 April 2021. Klinik Latihan Ilmiah ini merupakan prpgram intervensi yang dianjurkan setiap semester dan golongan sasarannya adalah pelajar semester akhir yang mendaftar kursus Latihan Ilmiah (EDU650). Sesi kali ini dikendalikan oleh Dr. Hamimah Hashim, Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Pendidikan, dan telah dimoderasikan oleh Dr. Farhana Wan Yunus, Penyelaras Latihan Ilmiah dan Praktikum, Fakulti Pendidikan.
Fokus sesi adalah tiga bab pertama di dalam penulisan laporan penyelidikan: Pengenalan, Kajian Literatur dan Metodologi Kajian. Para peserta dibimbing dengan panduan langkah-demi-langkah penyediaan sumber serta aspek penulisan untuk ketiga-tiga bab ini.
Latihan Ilmiah (EDU650) adalah satu kursus teras di dalam pelan pengajian kesemua program ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang ditawarkan di Fakulti Pendidikan. Kursus ini menuntut para pelajar menjalankan penyelidikan berkaitan bidang pendidikan dan menyrahkan laporan kajian dalam bentuk latihan ilmiah di hujung semester lapan. Sejak mula dinajurkan pada 2017, Klinik Latihan Ilmiah didapati telah berjaya meningkatkan peratusan pelajar tamat dalam tempoh (GOT) dengan signifikan. Ia juga telah memberi pelajar keyakinan dan semangat untuk menghabiskan penulisan Latihan Ilmiah didalam tempoh yang diberikan.
Rakaman penuh sesi ini boleh ditonton di Laman YouTube Rasmi Fakulti Pendidikan UiTM: https://www.youtube.com/c/EDUTubeFacultyofEducationUiTM