9 Pelajar Menjalani Latihan Industri dalam Norma Baharu di InQKA

Latihan industri bagi pelajar universiti sememangnya tidak asing lagi. Kadangkala, pelajar dilema dalam memilih organisasi mana yang sesuai untuk melaksanakan latihan industri. Sesetengah pelajar lebih gemar memilih organisasi yang ‘popular’ atau berprofil tinggi. Apapun pilihan pelajar, tujuan utama melaksanakan latihan industri bukan sahaja untuk menimba ilmu dan pengalaman, namun juga untuk mengintai peluang pekerjaan sekiranya ada.

Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu atau Institute of Quality and Knowledge Advancement (InQKA) merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam menerangkan tentang kualiti atau dalam istilah lebih mudah, berperanan sebagai pusat kualiti di Universiti Teknologi MARA. Antara peranan InQKA ialah mengurus semua aktiviti berkaitan kualiti yang dilaksanakan bukan sahaja di peringkat universiti dan fakulti tetapi juga di kampus dan cawangan peringkat negeri.

Apa yang menarik jika pelajar memjalankan latihan industri di InQKA? InQKA mempunyai beberapa unit iaitu Unit Jaminan Kualiti Dalaman, Unit Kualiti dan Kecemerlangan Operasi, Unit Inovasi dan Kreativiti, Unit Komunikasi dan Unit Pentadbiran. Pelajar latihan industri akan diberi peluang untuk menyerlarkan potensi dan menterjemahkan apa yang telah dipelajari dalam kelas dengan tugasan-tugasan berkaitan dengan unit-unit tersebut. Pelajar latihan industri akan melaksanakan tugasan sesuai dengan kursus yang dipelajari.

Sebagai contoh, pelajar dari program Sains Komputer berkesempatan mempelajari tentang cara mengendalikan laman web secara intensif. Setiap organisasi mempunyai operasi laman web tersendiri. Justeru, pelajar dapat mempelajari hal-hal teknikal yang berbeza dan tips dalam mengendalikan laman web. Manakala pelajar dari program komunikasi berpeluang turut serta dalam mengendalikan majlis, menulis artikel, membuat suntingan video, sebagai penyumbang kandungan untuk media sosial dan bahan terbitan.

Selain itu, apa yang penting, pelajar turut berpeluang mengetahui pengoperasian InQKA dalam memacu dan menggerakkan usaha-usaha kualiti di UiTM. Pelajar latihan industri dapat mempelajari tentang Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), pengurusan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), audit pensijilan, pematuhan ISO, Sistem Jaminan Kualiti dan pengurusan akreditasi. Elemen-elemen ini penting diketahui dan dipelajari oleh pelajar latihan industri sebagai pengetahuan asas bermanfaat apabila bekerja kelak.

Sungguhpun situasi pandemik masih melanda negara, Institut Kualiti danPengembangan Ilmu (InQKA) di UiTM Shah Alam telah menerima sembilan pelajar dari pelbagai kursus bagi melaksanakan latihan industri di pusat kualiti UiTM ini.

Pada semester ini, pelajar latihan industri terdiri daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), iaitu Nurhanisah Abdul Haled, Siti Zarina Sukari, Nur Shahirah Shamshul Anuar, Amin Haekal Amin Ikmal dan Haziq Mirqan Suhaimin, dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) iaitu Nur Syuhada Husna Saharuddin, Nur Syahirah Abu Bakar dan Ain Dayana Tasha Ahmad Rashdan dan dari Universiti Selangor (UNISEL) iaitu Puteri Nur Farah Hanum Mohd Najib.

Semua pelajar diberi peluang untuk mempraktikkan pengetahuan yang telah dipelajari semasa menjalani latihan di InQKA. Mereka bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman berkaitan pengajian, tetapi turut berkesempatan mengetahui operasi InQKA dalam memacu dan menggerakkan usaha kualiti UiTM.

Kesemua pelajar latihan industri merupakan pelajar tahun akhir dalam pengajian masing-masing akan menamatkan latihan industri mereka pada 16 Julai dan 6 Ogos tahun ini. Kesimpulannya, InQKA bukan sahaja tempat latihan industri yang menawarkan suasana kerja yang kondusif, namun juga dapat memberikan peluang pelajar memanifestasikan apa yang telah dipelajari di kelas, di samping dapat mengetahui perkara-perkara baharu dalam industri yang tidak diketengahkan sewaktu belajar. Pastinya, InQKA, sebuah organisasi tepat untuk para pelajar mengekspresikan kemahiran, ilmu pengetahuan dan ruang industri untuk mencungkil potensi diri yang tersembunyi.