MELAKA , 12 JUN – Graduan bidang komunikasi massa yang berminat menjadi sebahagian dari kumpulan pemasaran di pusat membeli-belah hendaklah menolak kepercayaan bahawa ianya adalah satu pekerjaan mudah.
Pengurus pemasaran AEON Mall Bandaraya Melaka Puan Anita Harun berkata kerjaya pemasaran di pusat membeli belah adalah mencabar, namun mampu memberikan satu kelainan dalam kepuasan bekerja.
“Hanya dengan berada di dalam pusat membeli-belah boleh memberikan satu perasaan seolah berada di dalam ‘syurga’, jadi walaupun pekerjaan itu adakalanya sukar, anda boleh berehat sebentar sambil menikmati suasana yang menggembirakan,” ujarnya.
Puan Anita berkata demikian sewaktu program lawatan sambil belajar oleh 24 pelajar Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Melaka Kampus Alor Gajah ke AEON Bandaraya Melaka untuk meneroka ilmu pemasaran dan penjenamaan menerusi media sempena Minggu Week Without Walls.
Program yang disertai oleh pelajar MMC1102D ini diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Alor Gajah iaitu Puan Siti Hajar Abd Aziz, turut disertai Puan Nur Farrah Faadiah Ab Ghani, Dr. Aqilah Nadiah Md. Sahiq, Pensyarah Kanan (Kewangan), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Bandaraya serta Pensyarah Pelawat, Dr. Vidyarini Dwita, Pensyarah Kanan (Pemasaran) merangkap Coordinator of Dual Degree Program Universitas Negeri Padang, Indonesia.
Turut mengiringi taklimat dan lawatan tapak ialah Pengurus AEON Bandaraya Melaka Alexandra Toh dan dibantu pasukan pemasaran AEON Mall Bandaraya Melaka.
Dalam program itu pihak pemasaran meberikan gambaran umum berkenaan operasi dan strategi pemasaran mereka di samping berkongsi kepentingan menjaga hubungan baik dengan pelanggan untuk sentiasa berdaya saing sebagai sebuah pusat beli-belah yang utama di Melaka.
Galeri Gambar: