Kerjasama UiTM Cawangan Pahang dan UnIPSAS

27-28 JUN 2022 – Telah berlangsung Perbincangan Pemantapan Pembelajaran dan Pelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Analysis and Design of Accounting Information System dan Integrated Case Study bertempat di Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang..

Perbincangan ini telah dihadiri oleh Ketua Jabatan Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Informatik, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Puan Nor Azah Abdul Jalil bersama pensyarah-pensyarah Jabatan Perakaunan, Puan Nur Elyana Ahmad Munawar dan Cik Norlaily Asnawi Sulaiman.

Antara yang dibincangkan di pertemuan ini adalah teknik-teknik mengajar yang berkesan, perancangan PdP sepanjang semester, pemilihan case study yang bersesuaian dan perancangan kerjasama dimasa yang akan datang.

Secara tidak langsung aktiviti yang dijalankan ini telah menjadi pengisian MOU yang telah dimeterai di antara UiTM Cawangan Pahang dan UnIPSAS yang dirintis oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) pada 17 Disember 2021. Usaha yang dijalankan oleh Fakulti Perakaunan dan Jabatan Perakaunan ini telah memperkasa program akademik di kedua-dua belah universiti, selain mewujudkan kerjasama jangka masa panjang ke arah kecemerlangan bersama dan ia turut membantu Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti.

Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.