KEMERDEKAAN MENGIKUT ACUAN PENJAJAH?

Terdapat segelintir pihak yang mengeluarkan atau menyatakan pendirian mereka bahawa Persekutuan Tanah Melayu merdeka mengikut rentak penjajah British. Kenyataan yang dibuat kerana mereka melihat pihak yang memperjuangkan dan berjaya membawa negara ke era kemerdekaan adalah dari golongan yang mempunyai pendidikan dari barat dan dalam pada masa yang sama mempunyai pemikiran penjajah. Tambahan pula ahli suruhanjaya yang dilantik bagi mengesyor dan merangka Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pembentukan negara bukanlah dari golongan penduduk asal Tanah Melayu. Ya, kita tidak boleh menafikannya, akan tetapi kenyataan yang dihujahkan menurut konteks secara tunggal tersebut kurang menepati fakta dari rentetan perjalanan menuju kebebasan (merdeka).

Tamatnya perang dunia kedua, British pada dasarnya ingin mewujudkan negara persekutuan yang melibatkan semua negeri-negeri Melayu (Bersekutu dan Tidak Bersekutu) dengan negeri-negeri Selat (Singapura dikecualikan) bagi menyeragamkan pentadbiran yang sebelum ini diuruskan oleh tiap-tiap negeri mengikut acuan masing-masing (Mohd. Isa Othman, 2007:296-297). Maka dengan itu, Malayan Union telah ditubuhkan secara rasmi menurut warta kerajaan “Kertas Putih 6724” bertarikh 22 Januari 1946. Namun Malayan Union ini hanya bertahan selama 2 tahun sahaja akibat kebangkitan dan penentangan orang-orang Melayu yang melihat dasar Malayan Union ini menghakis kuasa dan kedaulatan Raja-Raja serta mengetepikan hak bumiputera. Berikutnya, Malayan Union dibubarkan dan diwujudkan satu dasar dan pentadbiran baharu yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggerisnya adalah Federation of Malaya pada tahun 1948.

Tahun 1955, satu pilihan raya telah dijalankan di seluruh Tanah Melayu dan sebanyak 52 kerusi dipertandingkan. Pilihan raya dilaksanakan kerana ia adalah salah satu usaha untuk Persekutuan Tanah Melayu ke arah pemerintahan sendiri. Parti Perikatan telah menang sebanyak 51 kerusi dan berjaya membentuk kabinet yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan yang dipimpin oleh majoriti masyarakat Melayu telah menjadi penyambung lidah orang-orang Melayu bagi mempertahankan hak mereka dan bebas dari naungan atau penjajahan dari mana-mana kuasa asing. Kemenangan yang dimiliki oleh Parti Perikatan telah membuka ruang dan peluang rundingan kemerdekaan Tanah Melayu kerana ia adalah manifesto yang perlu ditepati.

British bersetuju dengan tuntutan kemerdekaan yang dibuat oleh wakil dari Parti Perikatan dan wakil dari Raja-Raja. Hasil persetujuan itu, satu suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu atau lebih dikenali Suruhanjaya Reid ditubuhkan bagi mengesyor dan merangka Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan diluluskan oleh baginda Ratu United Kingdom dan Majlis Raja-Raja. Menurut laporan Suruhanjaya Reid 1957, pada awalnya suruhanjaya ini diketuai oleh seorang dari warganegara United Kingdom dan seorang ahli dari negara yang sama serta hendaklah tiap-tiap negara dari Kanada, Australia, India dan Pakistan mempunyai seorang wakil untuk dijadikan ahli. Ahlinya terdiri daripada pengerusi iaitu Lord Reid (seorang Hakim Mahkamah Rayuan di United Kingdom), Sir Ivor Jennings (dicalonkan dari kerajaan United Kingdom), Sir William Mac Kell (bekas Gabenor Jeneral Australia), Tuan B.S. Malik (bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Allahabad, India) dan Tuan Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat). Namun begitu, calon dari Kanada telah menarik diri pada saat akhir atas alasan mengalami masalah kesihatan yang memerlukan rawatan. Jika kita lihat, ahli suruhanjaya bebas ini majoritinya dari negara-negara komanwel (bekas jajahan British).

Suruhanjaya Reid dilantik atas nama baginda Ratu dan Majlis Raja-Raja serta suruhanjaya ini telah menurut terma-terma rujukan daripada Raja-Raja untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Terma-terma rujukan tersebut terdiri daripada menubuhkan sebuah kerajaan Persekutuan yang kukuh dengan cara disertai oleh Negeri-Negeri serta seluruh penduduk di Tanah Melayu. Komponen kedua, melindungi kedudukan dan martabat Raja-Raja sebagai Raja Berperlembagaan. Ketiga, jawatan baru iaitu “Yang di-Pertuan Besar” merupakan Ketua Utama Negara yang dipilih dalam kalangan Majlis Raja-Raja. Keempat adalah kewarganegaraan kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan kelima ialah melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Tidak lupa juga, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Perlembagaan Malayan Union juga menjadi rujukan suruhanjaya bebas ini untuk merangka draf perlembagaan.

Bagi mendapatkan maklumat, Suruhanjaya Reid telah membuat rundingan bersama Majlis Raja-Raja, Menteri-Menteri Besar, Penasihat British dan Pegawai Negeri serta melawat setiap negeri untuk berjumpa dengan penduduk. 118 kali mesyuarat telah diadakan dan dalam tempoh tersebut, sebanyak 131 memorandum telah diterima dari pelbagai parti politik, organisasi serta lapisan masyarakat. Maklumat ini jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan ini dirangka oleh Suruhanjaya Reid mengikut maklumat dan memorandum yang telah diserahkan oleh penduduk Tanah Melayu dari setiap lapisan. Lebih daripada itu, perihal agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan yang diketuai oleh baginda Raja-Raja adalah terma yang diperjuangkan sendiri oleh kepimpinan masyarakat yang dikatakan mempunyai pemikiran barat walaupun ada sedikit cabaran awal semasa cadangan untuk meletakkannya di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun begitu, perlembagaan yang sudah dirangka tidak boleh dinafikan menyerupai sedikit dengan perlembagaan United Kingdom dan India (Negara Komanwel). Akan tetapi persamaan itu adalah hanya segi pelaksanaan sahaja, isinya masih tertakluk mengikut kesesuaian struktur adat resam dan kebudayaan negara seperti kedaulatan Raja-Raja sebagai Raja Berperlembagaan (Perkara 181), agama Islam adalah agama bagi Persekutuan namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai (Perkara 3), hak keistimewaan orang-orang Melayu (Perkara 153) serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152). Inilah yang diperjuangkan oleh pemimpin Melayu dan menjadi agak dangkal sekiranya anak bangsa sendiri yang mendapatkan pendidikan barat tidak layak untuk dipanggil pejuang bangsa. Bahkan di negara lain seperti India, China, Indonesia dan seterusnya juga mempunyai pejuang bangsa yang mendapatkan pendidikan di barat. Untaian daripada itu, tanggal 27 Ogos 1957, Majlis Perundangan Persekutuan telah ditamatkan dan Perlembagaan Persekutuan dimasyhurkan dan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 bersamaan dengan pengisytiharaan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Tuntasnya, apa yang dikatakan itu hanyalah sekadar pandangan tunggal, dimana ia tidak terlebih dahulu mengetahui hakikat sebenar perjalanan menuntut kemerdekaan malah para ulama dan agamawan turut sama terlibat secara langsung. Antara ulama yang terkenal bekerjasama memperjuangkan kemerdekaan adalah Syeikh Haji Abdullah bin Ibrahim atau dikenali sebagai Syeikh Abdullah Fahim. Beliau merupakan mufti pertama di Pulau Pinang dan datuk kepada Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah hasil dari cadangan beliau berdasarkan penelitian ilmu falak. Oleh itu, kemerdekaan yang sedang kita nikmati selama ini adalah bersesuaian dengan acuan kita sebagai masyarakat yang mendiami Persekutuan Tanah Melayu.Berbangga juga kerana tuntutan kebebasan ini digerakkan dengan penuh hemah dan harmoni.