Kembara iPROLEADS 2024 – Program Kepimpinan Pelajar di Kota Bandung, Indonesia

BANDUNG, INDONESIA, 11 MAC 2023 – Sebuah kembara program International Professional Leaders (iPROLEADS 2024) telah berjalan dengan jayanya bermula 8 Mac sehingga 10 Mac 2024 bertempat di Bandung, Indonesia. Program ini telah dianjurkan oleh Unit Kepimpinan Pelajar UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Perak Sesi 2022/2023 dan Universitas Widyatama, Bandung, Indonesia. Dengan membawa tema ‘Memperkasa Potensi Mahasiswa Global’, inisiatif yang julung kali dianjurkan ini adalah bertujuan untuk menyahut seruan  Pelan Perangkaan Strategik UiTM 2024 yang telah dibentangkan melalui tema ‘Globally Respectable’. Bagi mencapai aspirasi ini, maka program iPROLEADS 2024 ini telah dirangka dengan tujuan untuk menjalinkan kerjasama pembangunan strategik barisan kepimpinan pelajar secara global. Sebagai permulaan, inisiatif ini akan bermula dengan 4 teras kerjasama yang dicerakinkan mengikut pemetaan kepada keperluan dalam Anugerah Tokoh Siswa iaitu (1) kemahiran kepimpinan (kluster Pembangunan Sosial), (2) program kepimpinan pengucapan awam dan wacana intelek (kluster Pembangunan Akademik dan Intelektual), (3) tanggungjawab komuniti, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat (kluster Kesukarelawanan) serta (4) lawatan penanda aras, perkongsian amalan kualiti antarabangsa dan kerjasama strategik (kluster Khas Individu : Anugerah Khas Kepimpinan Pelajar Antarabangsa).

iPROLEADS 2024 telah direka untuk memupuk pembangunan kemahiran kepimpinan yang sangat berkesan di kalangan pelajar. Objektif utama bukan hanya untuk memupuk kemahiran-kemahiran ini tetapi juga permulaan kepada usaha untuk membina hubungan positif dan rangkaian kerjasama strategik dalam komuniti global. Kepimpinan dianggap sebagai asas utama dalam memainkan peranan untuk membentuk hubungan antara manusia yang kukuh. Memperakui bahawa kepimpinan yang berkesan adalah penting dalam pelaksanaan tugas harian dalam mana-mana organisasi, program ini menekankan intipati kepada kepentingan setiap individu untuk memiliki keupayaan memimpin dengan cekap. Memperlengkapi pelajar dengan kemahiran kepimpinan yang relevan menjadi agenda utama kerana ia berfungsi sebagai landasan bagi mereka untuk mempamerkan bakat dan kompetensi mereka di peringkat antarabangsa. Kepentingan inisiatif ini diperluas melalui program ini yang berfungsi sebagai platform untuk merangka dan membincangkan formulasi pelan-pelan jangka pendek dan juga pelan-pelan jangka panjang di masa hadapan. Pelan-pelan ini direka dan dibincangkan dengan teliti untuk mencipta rangka kerja perancangan komprehensif bagi tujuan mempersiapkan mental dan fizikal pelajar di peringkat antarabangsa melalui program-program yang diatur secara strategik. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan impak dan fungsi pelajar secara global serta seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan holistik mereka dan mempersiapkan mereka untuk terlibat secara berjaya di pentas antarabangsa.

Aspirasi program telah mensasarkan beberapa objektif yang komprehensif supaya hala tuju program ini selari dan seiring dengan intipati kandungan Pelan Perangkaan Strategik UiTM 2024. Selain daripada menjadi platform persediaan dalam membentuk pelajar untuk merencana, memimpin dan mengendalikan program berimpak yang memberi nilai tambah pelbagai kepada pelajar, program ini juga bermatlamat untuk menyediakan pelajar yang berperwatakan dan berpendirian teguh, inovatif serta berpandangan luas merentasi sempadan bagi menghadapi cabaran-cabaran global dan serantau melalui pengalaman dalam keadaan negara luar yang beza budaya dan bangsa. Pengisian program juga diharapkan akan dapat membina kemandirian pelajar yang berintelek luas, berfikiran kritis serta boleh melihat hubungan-hubungan isu yang merentasi bidang kepakaran masing-masing. Di akhir program, ia diharap dapat memberikan pelajar kepelbagaian pengalaman budaya serta kepelbagaian teknik kepimpinan yang berkesan berdasarkan asas UiTM sebagai persediaan untuk bekerjasama dengan pelajar antarabangsa.

4 teras asas telah diletakkan sebagai asas cetak biru iPROLEADS 2024. Bagi kluster Teras 1 iaitu Kemahiran Kepimpinan yang diletakkan di dalam Kluster Pembangunan Sosial, sebuah program Pertukaran Budaya telah direncanakan untuk tujuan tersebut. Manakala di dalam Teras 2 bagi Kemahiran Pengucapan Awam Dan Wacana Intelek, sebuah webinar antarabangsa telah dianjurkan dengan melibatkan penceramah jemputan dan peserta dari pelbagai negara dan latar belakang. Di dalam Teras 3 pula bagi Tanggungjawab Komuniti, Kesukarelawan dan Khidmat Masyarakat bagi Kluster Kesukarelawanan, pelajar UiTM telah bekerjasama bersama dengan pihak Universitas Widyatama untuk menggerakkan program ‘Pengabdian Mahasiswa’ bagi memberi khidmat kepada komuniti setempat. Pengisian program diperkasakan lagi melalui pelaksanaan program Teras 4 iaitu dengan perlaksanaan Lawatan Penanda Aras, Perkongsian Amalan Kualiti Antarabangsa dan Kerjasama Strategik dengan merujuk kepada kluster Anugerah Khas Kepimpinan Pelajar Antarabangsa. Keempat-empat teras telah direncanakan dengan sasaran untuk memberi impak tinggi dan positif kepada semua peserta terlibat.

 

Program iPROLEADS 2024 bermula dengan sesi Webinar Seminar Kepimpinan Profesional Antarabangsa 2024 dengan menampilkan 5 panelis yang berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan terdiri dari wakil di Malaysia, Indonesia dan United Kingdom. Tujuan utama webinar ini adalah untuk membincangkan dan mengupas isu seputar mengenai wawasan, teori dan pengalaman praktikal panelis melalui platform kepimpinan profesional untuk pembentukan kerjasama strategik di peringkat global. Dalam ucapan aluan wakil Universitas Widyatama, Dra Uning Kuraesin membawakan hasrat penganjuran program dengan menyatakan, “Dengan pengalaman mereka yang luas dalam berbagai sektor, para panelis memberikan wawasan berharga tentang tantangan dan peluang dalam dunia kepemimpinan profesional saat ini,” katanya pada majlis perasmian webinar iPROLEADS 2024. Kumpulan panelis dari Malaysia terdiri daripada Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, UiTM (Malaysia), dan Ng Zhen Fan Shankar, Timbalan Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Manakala panelis jemputan dari Indonesia adalah Dr Atalia Praratya, atau lebih dikenali sebagai ‘Ibu Cinta’, figura yang tidak asing lagi di Indonesia, serta merupakan pengasas Jabar Bergerak dan sekarang menjawat jawatan pensyarah di Universitas Widyatama. Seorang lagi panelis dari Indonesia adalah saudara Gerry Rivaldy Muhammad Nugraha, mantan Presiden Pemerintahan Mahasiswa di Universitas Widyatama bagi tahun 2017. Bagi panelis dari United Kingdom pula, saudara Taufiq Mohd Hassan, Exco Hubungan Antarabangsa dan Projek Khas, Persatuan Alumni MPP UiTM yang kini menuntut di University of Manchester, telah dijemput bagi melengkapkan senarai panelis jemputan bagi webinar ini. Para panelis telah menyentuh dan membincangkan beberapa topik menarik berkaitan kepimpinan termasuk teori kepimpinan, kemahiran kepimpinan, jenis-jenis kepimpinan, etika kepimpinan, pengaruh kepimpinan, kepimpinan dan inovasi, kepimpinan dan kepelbagaian, kepimpinan dalam perubahan, kepimpinan dan kohesi pasukan, dan kepimpinan dalam konteks antarabangsa. Sambutan webinar adalah sangat menggalakkan dengan melibatkan peserta-peserta dari Malaysia, Indonesia, United Kingdom, Thailand dan Vietnam.

Sebuah sesi dialog juga telah dianjurkan dengan melibatkan peserta-peserta dari Malaysia dan juga pemimpin-pemimpin persatuan dari Universitas Widyatama. Fokus utama perbicangan ini adalah melibatkan perbincangan dan pertukaran pendapat dalam merencana hala tuju dan kerjasama strategik yang ampuh di antara kedua negara dalam merealisasikan kerjasama erat di antara peserta terlibat. Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira 3 jam ini telah memberi banyak input dan faedah yang meliputi ilmu dan pengetahuan kepimpinan dalam memimpin organisasi serta memberi dimensi baharu kepada semua peserta.

Pengisian program iPROLEADS 2024 juga merangkumi program ‘Pengabdian Mahasiswa’ di mana melalui slot ini, Unit Kokurikulum Khidmat Masyarakat, Unit Kepimpinan Pelajar dan Persatuan Nadi Acara (NADA) UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Universitas Widyatama Bandung, Indonesia telah melaksanakan program yang diberi nama International Aid Innovation (Aid-Innovate) – sebuah projek inovasi yang bertujuan untuk membantu pelawat-pelawat dan juga warga kerja di rumah sakit (hospital/klinik) dalam mempermudahkan urusan mengerjakan solat ketika menjaga pesakit bertempat di Rumah Sakit Ibu & Anak Al-Islam. Menyedari akan tuntutan solat dan amalan-amalan baik dalam konteks insaniah dan menghadapi ujian, amalan ini dapat dilaksanakan secara spiritual tanpa halangan dimana sahaja. Melalui program ini, sumbangan Wakaf Kit Solat mesra pengguna telah diserahkan kepada Dr Patuh Ikranegara, Direktor Rumah Sakit Al-Islam, Bandung Indonesia bagi kegunaan pesakit, waris pesakit dan kakitangannya. Wakaf Kit Solat ini adalah hasil kutipan derma dan sumbangan dari orang ramai yang telah dikumpul dua bulan awal dari tarikh program dijalankan.

Program ini dirumuskan dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk memperkukuhkan kemahiran kepimpinan dan membina hubungan global yang strategik. Dengan perencanaan tepat dan percangan yang baik, iPROLEADS 2024 telah memberi pelajar sebuah wawasan yang berharga tentang kepimpinan dalam konteks global. Program-program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan di masa akan datang dalam menjana kesan positif dalam pembangunan holistik pelajar dan persediaan mereka untuk berjaya di arena antarabangsa.

 

Laporan disediakan oleh: Mohd Shahril bin Abd Rashid (Ketua Unit Kepimpinan Pelajar), Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Azian bin Zaidi (Timbalan Rektor HEP UiTM Caw. Perak), Muhammad Azim bin Sharul Nizar (Exco MPP Sesi 2022/23)