JENGKA, 20 Jun 2023 – Kem “Al Masjid Fii Qalbi” adalah program cuti sekolah yang dianjurkan bersama oleh Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Pusat Pengajian Sains (PPS) FSG Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang. Program ini diadakan pada pada 16 Mac 2023 di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Program ini disertai oleh 178 orang pelajar berumur 9 hingga 13 tahun dari Bandar Jengka dan sekitarnya. Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan generasi yang cintakan institusi utama dalam agama Islam, iaitu masjid selain memberi kesedaran tentang kesihatan emosi dan pembangunan diri individu secara holistik yang merangkumi unsur roh, akal, jasad, hati dan nafsu. Selain itu, program ini turut mensasarkan untuk memacu jaringan antara UiTM dan komuniti setempat dengan memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran seoptimum mungkin.
Program ini berusaha untuk mengisi keperluan roh, akal dan jasmani dengan pengisian yang sebaik mungkin. Sebagai makanan roh dan akal seseorang yang ingin menjadi muslim yang sempurna, anak-anak peserta diperkenalkan dengan tiga masjid agung dalam Islam iaitu Masjidil Haram, Masjidil Nabawi dan Masjidil Aqsa. Program “Kenali Masjid Agung” disampaikan oleh Ustaz Faridzul Amri Fadzil, Pegawai Eksekutif Kanan Unit Hal Ehwal Islam UiTM Pahang. Keperluan emosi pula memfokuskan kepada sessi pengenalan dan pengurusan Emosi melalui slot pengisiaan oleh Pn Anita Abu Kassim, Peg. Psikologi Kanan UITM Caw. Jengka. Matlamat utama kem ini adalah untuk memberi pendedahan kepada aktiviti-aktiviti fizikal semulajadi seperti menyemai benih, berkuda dan memanah kepada peserta-peserta yang hadir. Oleh itu, antara pengisian jasmani kem ini adalah aktiviti sukan berkuda dan memanah yang memberi peluang kepada peserta-peserta yang menyertai kem ini untuk mencuba sukan-sukan sunnah yang masih tinggi kosnya. Selain itu, peserta-peserta kem juga diajak kembali kea lam semulajadi dengan mencuba menyemai benih agar mereka dapat menjaga dan meneliti proses pertumbuhan benih yang disemai oleh mereka.
Program ini berakhir pada jam 7 malam dengan acara penyampaian cenderahati dan sijil kepada semua peserta yang hadir. Dengan harapan peserta-peserta dapat mengamalkan ilmu dan pengalaman yang diperoplehi sepanjang satu hari beraktiviti di kem ini. Semoga PPS dan UHEi dapat meneruskan lagi aktiviti sebegini untuk menyumbangkan sebanyak mungkin kepakaran dan ilmu kepada komuniti.