KEADILAN SEORANG KHALIFAH ADALAH TANGGUNGJAWAB BUKAN SATU KEISTIMEWAAN

Secara munasabahnya kejayaan mahupun kegagalan dalam sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat yang dirancang bergantung kepada kaedah kepimpinan. Kejayaan seorang pemimpin dinilai dari pelbagai aspek antaranya adalah tahap kemampuan individu memimpin masyarakat ketika berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran. Konsep kepimpinan yang diterapkan dalam Islam bersifat holistik yang memberi penumpuan kepada prinsip keadilan. Keadilan tidak terbatas mengenai pemerintahan, kehakiman serta hukum-hakam sebaliknya mencakupi dari pelbagai sudut kehidupan manusia. Malah keadilan dalam Islam bukan semata-mata memberikan hak sama rata tetapi memberikan hak mengikut keperluan dan kebenaran.

Pemimpin diberikan kedudukan yang istimewa kerana ia merupakan kesinambungan usaha kekhalifahan dari zaman Nabi Muhammad SAW. Prinsip keadilan menjadi dominan dalam konsep kepimpinan Islam. Prinsip keadilan ini diteruskan oleh Raja-Raja dalam era kontemporari. Keadilan Raja-Raja dalam era kontemporari bersumberkan Perlembagaan Malaysia. Prinsip keadilan dalam Islam bersifat menyeluruh iaitu meletakkan pada tempat yang benar dan wajar. Bezanya di barat keadilan melibatkan penumpuan untuk mengimbangi dua pihak misalnya masyarakat dan negara atau rakyat dan Raja (hak kesamarataan). Namun sebaliknya Islam telah menetapkan keadilan ini bermula dan berakhir dalam diri manusia sendiri. Tugas seorang pemimpin bukanlah satu keistimewaan tetapi lebih terarah kepada amanah, keadilan dan tanggungjawab. Setiap yang dilakukan oleh pemimpin ketika di dunia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Contoh yang ingin saya kongsikan di sini, Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan salah seorang khalifah pada era kerajaan Bani Umayyah yang patut menjadi contoh kepada pemimpin generasi sekarang terutama sekali bagi pemimpin yang beragama Islam. Khalifah Umar ternyata terlalu sedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah selepas kemangkatan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Selesai menunaikan solat, beliau berdoa dan menangis. Beliau juga mengadu kepada isterinya tentang keresahan beliau mengenangkan beban untuk menguruskan umat Nabi Muhammad SAW. Katanya;

“Aku terfikir tentang nasib orang faqir dan miskin yang kelaparan, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak berpakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang memiliki anak yang ramai tetapi hartanya sedikit dan orang lain seperti mereka yang terdapat di seluruh pelosok negeri. Aku mengenang bagaimana Tuhanku akan menanyakan dan memintaku bertanggungjawab ke atas mereka semua pada hari kiamat kelak. Aku takut jika aku tidak dapat memberikan keteranganku”.

Khalifah Umar tidak menerima kenderaan yang telah diperuntukkan khas untuknya bahkan beliau menjual semua kenderaan tersebut dan wang hasil jualan itu disumbangkan kepada Baitulmal, Beliau juga turut melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya. Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana; meskipun bersih tetapi koyak, walaupun pada hari raya. Kezuhudan Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini sememangnya sangat luar biasa dan memerlukan mujahadah dan ketakwaan yang sangat tinggi untuk diteladani. Teguhnya beliau menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin didasari atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT hingga menjadikan rakyatnya hidup dalam aman damai dan kaya. Beliau juga menyedari hakikat bahawa setiap tanggungjawabnya itu akan dipersoalkan di akhirat kelak dan menginsafi azab seksa Allah SWT yang sangat dahsyat kepada pemimpin yang mencuaikan amanahnya.

Selain itu, keadilan kepada diri merujuk kepada keadilan seorang hamba dengan hasil ikatan Perjanjian Asali setiap manusia dan Allah SWT. Seseorang yang bersikap adil disamping mengakui kebesaran Tuhan, mereka juga perlulah meletakkan kedudukan mereka sebagai hamba yang wajib dengan menyempurnakan ibadah mengikut cara yang telah diperkenan oleh Rajanya seperti hak dan tuannya yang mutlak. Keadilan yang dimaksudkan dengan diri sendiri ini tidak menzalimi diri sendiri sebaliknya berusaha untuk mengenal diri yang sebenar dan mencari cara yang terbaik untuk mengendalikan diri demi kemaslahatan kehidupan dunia dan akhirat. Selain daripada keadilan diri sendiri, keadilan sebagai khalifah juga haruslah dipupuk. Umat yang telah dicipta oleh Allah SWT berperanan sebagai hamba yang patuh dan tawaduk pada Pencipta serta dapat memelihara dan menjaga alam bumi ini. Maka sebagai khalifah yang telah diberi untuk menggalas tanggungjawab menggelolakan alam ini haruslah memelihara dan menjaga kesejahteraan umat manusia. Selain itu, sebagai seorang khalifah mahupun pemimpin seharusnya mengetahui tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Hal ini kerana kedudukan sebagai pemimpin bukan sekadar menjadi ketua malah memikul amanah yang lebih besar kepada negara.

Oleh itu, sebagai seorang pemimpin yang adil haruslah mempunyai sifat kasih terhadap golongan yang dipimpinnya. Sifat kasih ini akan membuatkan pemimpin tersebut sentiasa memikirkan kesejahteraan hidup rakyatnya. Sifat kasih juga akan mendorong pemimpin tersebut sentiasa sabar, pemurah, sopan santun, merendah diri, amanah, rajin, ikhlas, pemaaf dan mesra dengan rakyatnya. Sehubungan itu, rakyat juga akan mengasihi pemimpin berkenaan dan sentiasa mendoakan kesejahteraan pemimpin tersebut. Sebaliknya pemimpin yang zalim secara langsung telah melanggar prinsip keadilan dalam kepimpinannya. Pemimpin yang bersikap sedemikian tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara sebaliknya mengundang bala bencana serta kehancuran diri dan negara. Maka keteladanan yang telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz perlu menjadi panduan dan ikutan dalam mewujudkan sebuah negara yang diberkati seiring dengan pembangunannya secara holistik.