SHAH ALAM, 20 JUN 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah tersendiri pada tahun 2024 apabila universiti ini bakal menyambut ulang tahun ke 25 penubuhannya setelah diangkat menjadi sebuah institusi pengajian tinggi awam pada 26 Ogos 1999. Bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan tersebut, UiTM telah merancang satu program “Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun UiTM” yang bertemakan “Menuju Kelestarian Alam Sekitar.”
Program kayuhan ini melibatkan seramai 30 petugas dan pengayuh, yang terdiri daripada 12 pengayuh dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran serta 4 pengayuh dari kalangan pelajar. Mereka akan mengayuh sejauh 2,000KM merentasi Semenanjung Malaysia, tidak termasuk Sabah dan Sarawak, dalam tempoh dua minggu bermula dari 20 Jun hingga 2 Julai 2024.
Simbolik kayuhan ini adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM. Kapsul ini akan dipahatkan di sebuah monumen yang akan dibina dan dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024. Ia melambangkan impian dan harapan pengurusan serta seluruh warga UiTM untuk melihat universiti ini terus gemilang pada 25 tahun akan datang.
Kayuhan ini turut mendapat penyertaan istimewa daripada Pemangku Raja Perlis yang akan mencemar duli untuk program kayuhan UiTM Prihatin di UiTM Perlis pada 28 Jun 2024. Acara kemuncak adalah kayuhan penutup oleh DYTM Raja Muda Selangor yang akan mengayuh dari UiTM Puncak Alam ke UiTM Shah Alam pada 2 Julai 2024.
Kayuhan ini juga mengangkat matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 3, 11, 13 dan 17 yang bertujuan melestarikan alam sekitar. Kerjasama ini disambut baik oleh pihak Pulau Banding Foundation (PBF), yang turut serta sebagai penganjur bersama program.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. Hari pertama kayuhan dari UiTM Shah Alam hingga UiTM Cawangan Negeri Sembilan turut disertai oleh Naib Canselor UiTM sendiri, yang akan menyertai pasukan kayuhan untuk beberapa destinasi cawangan. Di setiap cawangan, akan diadakan Mini Sambutan 25 Tahun UiTM yang melibatkan komuniti setempat, alumni, seluruh warga kampus, kerajaan negeri dan pihak istana negeri.
Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan ini bukan sahaja menandakan sambutan ulang tahun ke-25 UiTM, tetapi juga mencerminkan komitmen UiTM terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.