Kajian Usahasama UiTM Tawar Penyelesaian Rawatan Sisa Organik Kos Rendah Secara Ekologi Di Tapak Pelupusan Sampah

SHAH ALAM, 14 JULAI 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah bekerjasama dengan rakan penyelidikan industri untuk membangunkan penyelesaian bagi merawat sisa organik di tapak pelupusan sampah. Penyelesaian mesra alam dan kos rendah ini menggunakan serangga seperti lalat soldadu hitam (black soldier fly) untuk mengitar semula sisa organik di tapak pelupusan sampah, menggunakan semula tapak pelupusan lama dan juga merawat air sisa.

Satu majlis penukaran Memorandum Perjanjian (MoA) mengenai projek ini telah diadakan di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Berjaya Enviropark Sdn Bhd, dan Entomo Agroindustrial dari Sepanyol.  UiTM diwakili Naib Canselor Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, manakala Entomo Agroindustrial diwakili oleh Encik Juan Cortés, Pengarah Sains dan Berjaya EnviroParks Sdn Bhd diwakili oleh Encik Peter Wong, Pengurus Besar Kanan.

Geran bernilai RM350,000 untuk projek bertajuk ‘Penyelesaian Inovatif, Ekologi dan Kos Rendah untuk Sisa Organik dan Rawatan Air Sisa’ telah dianugerahkan oleh KPT kepada UiTM dan akan diselesaikan dalam tempoh dua tahun. Rakan kongsi industri projek itu, Berjaya Enviroparks mendapat pembiayaan daripada MIGHT, manakala Entomo Agroindustrial, sebuah syarikat yang mengusahakan pembiakan lalat soldadu  hitam menerima pembiayaan daripada CTDI.

Penyelidik UiTM, Prof Madya Dr. Heo Chong Chin dan Dr Tania Ivorra (Fellow Penyelidik) dari Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA memperoleh geran penyelidikan di bawah Program Inovasi Malaysia-Sepanyol (MySIP) 2020. MySIP ialah geran padanan antarabangsa untuk projek penyelidikan oleh universiti awam Malaysia, dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kumpulan Industri-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Pusat Pembangunan Teknologi Perindustrian, Sepanyol (CTDI).

Penyelidikan ini bertujuan menggunakan lalat soldadu hitam (Hermetia illucens) untuk mengitar semula sisa organik di tapak pelupusan, dan seterusnya menggunakan kitosan yang diekstrak daripada lalat soldadu hitam di loji rawatan kumbahan. Projek penyelidikan ini direka untuk mencapai ekonomi kitaran dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Projek itu akan diterajui oleh UiTM dan dijangka bermula pada Ogos 2022. UiTM akan menjalankan segmen analisis data sementara komponen pengasingan sisa organik pula dijalankan oleh Berjaya EnviroPark. Entomo Agroindustrial (Sepanyol) akan mereka bentuk kontena kargo automatik yang sesuai dengan keadaan tropika bagi rawatan sisa organik menggunakan lalat soldadu hitam. Kontena kargo ini akan dihantar dari Sepanyol ke Malaysia dan akan ditempatkan di Tapak Pelupusan Sanitari di Bukit Tagar.

Sisa pepejal yang dijana di Malaysia adalah dianggarkan sebanyak 38,427 tan metrik sehari dalam tahun 2021 dengan lebih daripada 80% terdapat di tapak pelupusan sampah. Angka ini dijangka mencecah 14 juta tan metrik pada 2022, bersamaan dengan pengisian Menara Berkembar PETRONAS sebanyak 52 kali. Tambahan pula 50% sisa pepejal yang dihasilkan adalah berasal dari bahan organik yang boleh ditukar kepada kegunaan yang lebih baik. Penyelesaian baru diperlukan segera untuk mengitar semula sisa organik dan salah satu agen penukaran bio yang dikenal pasti ialah serangga.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah berkata bahawa projek inovatif industri-akademik seperti ini diharapkan dapat menambah baik operasi sistem pengurusan sisa organik agar menjadi lebih mampan, mesra alam dan seterusnya dapat menambah baik dasar polisi pengurusan sisa negara.