Junior Science Camp 2023
Oleh Marni Jamil dan Muhammad Usamah Mohd Ridzuan
Program “Junior Science Camp 2023” anjuran bersama Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PPKE), Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Akademi Pengajian Bahasa (APB) dan Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah diadakan dari 24 sehingga 26 Mei 2023 di UiTMCPP Kampus Permatang Pauh. Program ini yang bertemakan “Building Bridges with Water Quality: A Junior Science Camp with Fulbright Engagement” melibatkan 30 pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB) di samping mendapat kerjasama daripada Mindanao State University-Iligan Institute of Technology (MSU-IIT), Filipina; Penang Science Cluster (PSC-Pen), Pulau Pinang; dan Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE). Tujuan utama program ini adalah untuk memacu jaringan komuniti setempat serta mengeratkan jalinan antara pihak terlibat.
Hari pertama program bermula pada sesi paginya, dengan ucapan pembukaan majlis serta sesi suai kenal bersama pengarah program, Ts Dr. Mohd. Suhaimi Sulaiman, serta fasilitator yang terlibat. Beliau juga telah menyampaikan fail program kepada setiap peserta, diikuti dengan pembahagian kumpulan. Program diteruskan dengan taklimat “Selangkah ke UiTM” yang telah disampaikan oleh Ts Dr. Samsudin Wahab, Ketua Misi Akademik UiTMCPP. Pada sebelah petang, pelajar-pelajar SMSKB telah terlibat dalam modul eksperimentasi secara guna tangan atau “hands-on” berkaitan kualiti air di mana mereka telah didedahkan dengan tatacara saintifik dalam pengumpulan data dari pelbagai sumber dan pengukuran pH sampel-sampel tersebut.
Hari kedua dimulakan dengan analisa data yang diperolehi dalam eksperimentasi kualiti air yang telah dijalankan. Seramai 6 pensyarah PPKE dan PPKA serta 6 pensyarah APB UiTMCPP telah terlibat dalam modul pengumpulan dan analisa data serta modul pembentangan laporan secara lisan sepanjang dua hari program tersebut. Program pada sebelah petang pula diteruskan dengan sesi bual bicara bersama penerima-penerima biasiswa Fulbright oleh MACEE di mana para pelajar yang hadir mampu menjadikan penyampaian ahli-ahli panel sebagai sumber inspirasi untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, baik di dalam mahupun di luar negara.
Hari ketiga program ini bermula dengan pertandingan pembentangan laporan eksperimentasi kualiti air yang dinilai oleh barisan juri pensyarah serta guru-guru dari SMSKB. Seterusnya, Profesor Madya Ir. Ts Dr. Hajah Siti Noraini Sulaiman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTMCPP, telah menyampaikan hadiah kepada enam kumpulan peserta bagi pertandingan pembentangan laporan serta cenderahati kepada pihak SMSKB sewaktu majlis perasmian penutup program. Program ini melabuhkan tirainya pada jam 12 tengah hari dengan sesi bergambar.
Semua warga yang terlibat diharapkan mendapat manfaat daripada program ini serta mampu memacu pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ke arah yang lebih baik. Program ini juga diharapkan dapat membentuk jalinan yang baik antara UiTM dengan komuniti terlibat.