JERAM – Program Journée d’Hématologie anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah diadakan pada 7 Julai 2022 bertempat di Sekolah Agama Menengah Jeram, Selangor. Seramai 76 orang ahli jawatankuasa, 3 orang pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan serta semua pelajar tingkatan 4 dan 5 Sekolah Agama Menengah Jeram, Selangor telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Program ini merupakan usaha Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) untuk mewujudkan kesedaran tentang penyakit berkaitan sel darah putih dalam kalangan pelajar dan guru. Program ini dirasmikan oleh Encik Romizan bin Jathin yang merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
Program ini juga merupakan hasil kerjasama dan usaha sama dengan pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Wakil penceramah daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) iaitu Encik Ahmad Nu’man bin Abdul Rahman telah menyampaikan ceramah berkenaan rokok yang merupakan salah satu punca dan faktor utama yang mendorong kepada kes kanser di Malaysia.
Pengarah program, Nurul ‘Iffah Hanani binti Mohd Azri berkata, program sebegini amat diperlukan untuk memberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai tahap pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai isu kanser sel darah. Beliau juga berharap agar program seperti ini mampu memberikan manfaat kepada semua di samping dapat meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai kanser sel darah.