Jom Masuk IPT: Program Pra Pendidikan Tinggi


Melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi menjadi seorang mahasiswa universiti merupakan impian setiap pelajar. Namun di atas pelbagai faktor, tidak semua daripada pelajar ini mampu menjadikan impian ini suatu realiti. Ini menyebabkan ramai anak Melayu, anak Orang Asli, anak Sarawak dan anak Sabah tercicir di dalam pelajaran. Kesan daripada ini menyebabkan mereka meneruskan hidup tanpa ilmu dan tidak dapat menggunakan potensi diri yang sebenar secara optimum. Justeru, sebagai menunaikan tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dan negara, FELDA telah mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf pendidikan generasi kedua FELDA supaya pencapaian pendidikan mereka tidak berbeza berbanding dengan golongan lain di luar FELDA.

Pada 27 Jun hingga 24 Julai Pejabat Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT), UiTM telah dijemput oleh FELDA untuk menyertai ‘Jom masuk IPT‘ khas untuk anak-anak FELDA. Program tersebut telah disertai oleh 12 wilayah Felda bermula dengan lokasi di Trolak, Johor Bahru, Segamat, Raja Alias, Kuantan, Terengganu, Mempaga, Jengka, Gua Musang dan berakhir di Sahabat, Lahad Datu Sabah.  Sebanyak 25 IPTS juga turut serta dalam program ini. Objektif utama program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan penerangan dengan lebih jelas mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pemilihan pengambilan pelajar bagi lepasan SPM/Setaraf dan STPM/Setaraf dari kalangan masyarakat luar bandar terutama anak-anak kumpulan B40 dari keluarga Felda.

PPT UiTM telah menghantar wakil ke setiap program tersebut yang terdiri daripada PPT Shah Alam yang diketuai oleh Prof Madya Dr Aini Jaapar selaku Pengarah PPT, staf-staf dan pelajar-pelajar praktikal, koordinator PPT daripada setiap cawangan antaranya dari kampus Sungai Petani, Segamat, Kuala Pilah, Dungun, Jengka, Machang dan Tawau. Sebagai makluman, Program Pra Pendidikan Tinggi UiTM ini dahulunya adalah program yang dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Program ini berteraskan kepada falsafah universiti yang percaya bahawa seseorang individu itu mampu berusaha untuk mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni. Tujuan utama program PPT adalah untuk mengambil pelajar – pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan SPM yang kurang menepati syarat-syarat keperluan UPU. Program PPT adalah terbuka kepada golongan B40 dan juga bukan B40 agar kesemua mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Calon-calon yang memohon dan memenuhi syarat akan ditawarkan untuk mengisi 6000 kekosongan tempat di dalam program Pra Diploma di 12 kampus negeri UiTM di seluruh negara. Dua program utama yang ditawarkan di bawah program ini adalah program Pra Diploma Perdagangan dan Pra Diploma Sains. Ambilan pelajar dibuat dua kali setahun dan kesemua maklumat terkini berkaitan ambilan akan dipaparkan di laman web PPT dari masa ke semasa. Merujuk rekod, sehingga kini PPT telah memberi peluang pendidikan kepada lebih kurang 43,000 pelajar dari golongan B40 sejak tahun 2010 hingga 2019.

 

Sebahagian pelajar pula telah pun berjaya menyambung dan menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan pasca siswazah PPT mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput dan memberi peluang kepada PPT untuk menjayakan program tersebut. Sila layari laman web Program Pra Pendidikan Tinggi UiTM di pppt.uitm.edu.my untuk maklumat lanjut mengenai fasa-fasa penawaran dan juga program.