Pada 2 Julai 2022 yang lalu, Unit Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) telah menganjurkan program Jom Borak Santai Bersama Alumni Pra Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Negeri Sembilan secara atas talian, melibatkan penyertaan seramai 62 orang pelajar Pra-Diploma (Sains) (PD007/PD008) dan Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) (AS002/AS003) bagi sesi kemasukan Mac 2022 – Julai 2022.
Program perkongsian ilmu yang disampaikan secara santai ini membariskan empat orang panel jemputan iaitu Saudara Azman bin Ahmad (Graduan Diploma Kejuruteraan Kimia), Saudara Azamuddin bin A. Bakar (Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal), Saudari Khadijah Syahirah Kasnan (Pelajar tahun akhir Diploma Fisioterapi) dan Saudara Muhammad Iqbal bin Norinzan (Pelajar Semester 4 Diploma Kejuruteraan Kimia), yang juga merupakan alumni program Pra-Diploma (Sains) di UiTMCNS. Sementara itu, Dr. Mohd Asyran Safwan Kamaruzaman yang merupakan Penyelaras Program Pra-Diploma Pengajian Islam bertindak selaku moderator forum.
Forum selama 2 jam ini memfokuskan kepada perkongsian pengalaman peribadi panel jemputan semasa mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sehinggalah mereka berpeluang untuk menyambung pengajian ke UiTM melalui laluan Pra-Diploma (Sains). Selain itu, panel jemputan juga turut mengimbau memori dan nostalgia terindah sewaktu mereka berada di UiTMCNS Kampus Kuala Pilah, semasa mengikuti program Pra-Diploma (Sains) selama 6 bulan di sini. Di samping itu, melalui sesi perkongsian ini juga, ia sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada para pelajar untuk mempersiapkan mental dan fizikal sebelum mereka melangkah ke peringkat diploma kelak. Malah, para pelajar juga diberikan pendedahan awal berkaitan dengan skop kerjaya selepas tamat program diploma di UiTM, sama ada mereka berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda atau pun bekerja dalam sektor awam mahu pun swasta, atau mempunyai perniagaan sendiri.
Di akhir program, panel jemputan telah memberikan kata-kata perangsang kepada para pelajar, agar kekal fokus dan sentiasa melakukan yang terbaik dalam mengejar cita-cita dan impian masing-masing. Semoga program sebegini dapat membuka jaringan kerjasama baru antara alumni PPT dengan UiTMCNS, selain menjadi penghubung dan pemangkin dalam membantu universiti untuk melahirkan graduan profesional yang kompeten, berdaya saing dan holistik.