JMU 2023 ZON SABAH MEDAN UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU JEJAKI CALON PELAJAR

TAWAU, 31 MEI 2023 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau berpeluang untuk menjejaki calon pelajar melalui Program Jom Masuk U 2023 (JMU 2023) Zon Sabah yang telah berlangsung pada 27-28 Mei, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah.

JMU 2023 merupakan satu program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui jelajah pameran secara bersemuka di seluruh negara bertujuan untuk promosi dan perkongsian maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan di bawah KPT merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Dalam pada itu, UiTMCSH Kampus Tawau telah disertai oleh Encik Sulaiman Halim dan Encik Jemat Julaihi Basri, Bahagian Hal Akademik bagi mempromosi dan menyampaikan maklumat khusus tentang Program Pra Diploma yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sabah. Selain itu, pengunjung juga turut berpeluang untuk bertanyakan tentang program pengajian peringkat Diploma, Ijazah dan Pascasiswazah UiTM dengan terperinci melalui khidmat nasihat yang diberikan oleh para petugas daripada Bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu dan Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM.

Secara tuntasnya, rata-rata pengunjung yang hadir di kalangan pelajar, lepasan SPM, STPM, STAM, Diploma, Matrikulasi, Asasi dan setaraf dengannya, ibu bapa, penjaga serta pendidik berasa amat berpuas hati dengan penganjuran JMU 2023 Zon Sabah pada kali ini. Selaku tuan rumah, UMS telah menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Reruai Pameran dan Kaunter, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Aktiviti Bersama Alumni UMS, Campus Tour, Aktiviti Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Pertandingan U Got Talent dan Cabutan Bertuah.

Perasmian program JMU 2023 Zon Sabah telah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Muhammad Yusof Apdal, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS, 27 Mei 2023.