Jengkapine: Nanas Md2 UiTM Cawangan Pahang

Projek tanaman Nanas MD2 atau lebih dikenali dengan jolokan Jengkapine dimulakan pada Februari 2020. Projek tanaman ini dimulakan bagi memenuhi Pengajaran & Pembelajaran para pelajar Diploma Pengurusan Ladang (AT110) yang menjalani Latihan Praktikal dengan bimbingan staf dari Unit Pengurusan Ladang, UiTM Cawangan Pahang. Projek berkeluasan 2 ekar ini diusahakan di Ladang Buah-buahan, Unit Pengurusan Ladang UiTM Cawangan Pahang dengan mendapat kerjasama penuh dari pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang dan terutamanya Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan yang menjalankan tugas Rektor serta Lembaga Perusahaan Nanas Malaysia (LPNM), Pahang. Pihak LPNM Pahang sendiri telah beberapa kali melawat plot tanaman untuk pemantauan dan memberikan khidmat nasihat penanaman dan kawalan penyakit.

Jengkapine ditanam pada 4 plot dengan jumlah hampir 34 ribu pokok. Plot pertama dengan jumlah menghampiri 10 ribu anak pokok telah mula mengeluarkan hasil bermula Ogos 2021. Manakala, Plot kedua dijangka akan mula mengeluarkan hasil pada September 2021, Plot ketiga pada Oktober 2021 manakala Plot keempat sekitar November dan Disember 2021. Pihak Unit Pengurusan Ladang telah merangka jualan Jengkapine dengan menyediakan khidmat jualan runcit dan juga jualan borong. Pihak LPNM sendiri telah membeli Jengkapine secara borong dengan jumlah 2 tan untuk diserahkan kepada “frontliners” sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Selain itu, pihak UPL sendiri menyediakan jualan runcit kepada warga UiTM Cawangan Pahang melalui Unit Jualan Hasil UPL selain menyediakan perkhidmatan penghantaran percuma kepada pembeli sekitar UiTM Cawangan Pahang dan sekitar Bandar Jengka bagi memudahkan pembelian. Produk Jengkapine dijual dalam bentuk buah biji dengan harga RM5/kg selain buah potong dan jus nanas bagi memberi lebih pilihan kepada pembeli. Manakala, harga jualan borong adalah mengikut gred yang ditetapkan.

Pihak UPL juga membuat jualan dengan menyediakan khemah jualan di depan UiTM Cawangan Pahang bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar membeli produk Jengkapine dan jualan ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari penduduk sekitar Bandar Jengka. Selain itu, pihak UPL juga turut membuat jualan di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dan telah mendapat sambutan yang sangat baik dari warganya. Rasa buah yang sangat manis serta saiznya yang besar telah berjaya memikat hati pembeli.