Jelajah Dunia Ilmu di Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana

SHAH ALAM: Pada 9 Disember 2023 (Sabtu), Kelab Pembimbing Rakan Sebaya atau lebih dikenali sebagai Peers, telah berkolaborasi dengan Generation Library Information Society (GenLIS) dan Sekretariat Mahasiswa (SMKPPIM) Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Program Jelajah Dunia Ilmu di Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Program Jelajah Dunia Ilmu telah dijalankan secara bersemuka dihadiri 70 orang murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 dan melibatkan 26 orang barisan fasilitator yang terdiri daripada pelajar Peers, GenLIS & SMKPPIM. Program telah berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang  di Pusat Sumber Sekolah, Bilik Multimedia dan Bilik Komputer, Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana. Program tersebut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan Asas Pengkomputeran, Asas Penyimpanan Maklumat dan Data, Asas Matematik, serta Perpustakaan Digital. Selain itu barisan fasilitator juga turut menyediakan stesen permainan dan kuiz berkaitan ilmu yang  telah dipelajari pada hari tersebut.  

Majlis perasmian dan penutup telah dihadiri oleh Dr Mohd Nizam Yunus selaku Ketua Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar, Puan Kasmarini Baharuddin selaku Penasihat Peers, dan Encik Ahmad Nadzri Mohamad selaku Penasihat SMKPPIM, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Encik Sazuan Sulaiman selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid telah merasmikan program tersebut yang turut dihadiri oleh Puan Karnizar Dolah, guru bimbingan dan kaunseling serta para guru sekolah.

Pelaksanaan program jalinan komuniti ini amat bermakna dalam usaha membantu murid-murid untuk memahami konsep asas komputer seperti sistem pengendalian, perkakasan, perisian, rangkaian dan keselamatan komputer serta meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan teknologi seperti komputer. Program ini juga dapat membantu murid-murid mengetahui perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di perpustakaan, membimbing mereka menjadi pengguna maklumat yang bertanggungjawab dan berkemahiran serta memahami konsep asas matematik.