JARINGAN KERJASAMA UITM-MPM MANFAATKAN PEMBANGUNAN MANJUNG

MANJUNG, 4 Oktober 2023 – Hubungan keserakanan di antara universiti tempatan dan sektor industri diraikan oleh UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah berlangsung pada 4 Oktober 2023. MoU ditandatangani oleh Yang Dipertua MPM, Tuan Syamsul Hazeman Md. Salleh dan Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (PJIAM),UiTM, Prof. Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani. MoU ini merupakan salah satu usaha Program Perancangan Bandar dan Wilayah (PPBW), UiTM Cawangan Perak untuk bekerjasama dengan pihak industri dalam usaha menyumbang kepada pembangunan yang lebih mampan dan berkualiti. MoU yang berkuat kuasa selama tiga tahun itu dijangka akan menyumbang kepada penyelidikan pembangunan Bandar Manjung sebagai bandar pintar, lestari dan mempunyai karakter tersendiri. Dalam kerjasama strategik ini, UiTM akan bekerjasama dengan MPM untuk membantunya dalam setiap perancangan, sumbangan idea dan khidmat nasihat perundingan.

Menurut Tuan Syamsul, kerjasama antara kedua-dua pihak ini penting dalam merangka perancangan strategik bagi bandar Manjung yang meliputi keseluruhan aspek perancangan, pembinaan, penguatkuasaan dan pelaksanaan. Antara fokus utama MoU adalah menghidupkan semula Bandar Lumut sebagai Bandar Maritime dan Bandar Pelancongan dengan menekankan kepada aspek-aspek kesenian, mempelbagaikan aktiviti-aktiviti dan mewujudkan karakter dan keceriaan landskap bandar. Ini merupakan antara inisiatif yang akan dilakukan untuk menjadikan Lumut sebagai kawasan tarikan pelancong, dan bukan sekadar kawasan transit feri ke Pulau Pangkor.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohamad Abdul Aziz berharap agar kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi ketampakan UiTM khususnya di negeri Perak melalui aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tempoh MoU. Mengulas lanjut mengenai perancangan strategik bandar Manjung, Mohamad berkata banyak bandar telah melangkah ke arah pembangunan bandar pintar. Namun demikian, aspek warisan haruslah dipelihara supaya bandar tersebut mempunyai identiti dan keunikan tersendiri. Beliau berharap dengan kepelbagaian kepakaran pensyarah UiTM, khususnya dalam bidang perancangan bandar dapat membantu pihak MPM menaikkan Bandar Manjung sebagai Bandar Pintar (Smart City) yang beridentiti.