27 Jan 2023 – Shah Alam; Pilihan Raya Umum ke-15 telah disaksikan satu fenomena yang tidak pernah berlaku dalam negara ini. Parlimen tergantung selama 5 hari disebabkan parti gabungan tidak memperoleh kemenangan majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Situasi tersebut telah ditonjolkan peranan institusi beraja dalam menyelesaikan kemelut politik bagi mengekalkan kestabilan negara.
Oleh itu, satu wacana yang diberi nama Wacana Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang perihal sistem yang diguna pakai di Malaysia. Selain itu, kebersamaan dua institusi yang sudah jelas mempunyai kaitan dan kebergantungan antara satu sama lain. Encik Mujibu Abd Muis merupakan Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu selaku panel telah menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh moderator dan para pelayar yang menyaksikan wacana felo pada 27 Januari 2023, hari Jumaat jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Kemelut yang berlaku akibat kelompongan demokrasi itu telah diselesaikan apabila Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan baginda mengikut perlembagaan. Hal ini tidak sama sekali apa yang dikatakan oleh sesetengah pihak bahawa ianya satu campur tangan semata-mata, walhal ia adalah tanggungjawab baginda sendiri untuk memastikan rakyat dan negara berada dalam keadaan aman dan damai. Menurut Encik Mujibu, Malaysia menggunakan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Raja berkongsi kuasa dengan kerajaan dan dikawal oleh Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dilangkaui.
Menurutnya lagi, alhamdulillah baginda Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan yang begitu cemerlang dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam negara. Institusi beraja adalah pengimbang dan pemutus perjalanan pentadbiran. Kita harus memahami bahawa sistem ini sebagai satu mekanisme untuk membolehkan pentadbiran dan urusan kerajaan itu berjalan di mana rakyat mempunyai hak untuk memilih, kuasa rakyat itu walaupun mutlaknya “goverment of the people, by the people, for the people” tapi sebenarnya “people” itu tidak terlibat secara langsung, jadi pemain politik mewakilkan rakyat dalam urusan kerajaan.
Tambahan, siapa yang akan memeriksa pergerakan orang politik ini? Sudah semestinya institusi beraja dan ia perlu didukung oleh orang awam dan perlu dilihat Raja sebagai penaung dan pelindung kepada mereka.
Akhir sekali, orang awam perlu faham dan jelas peranan dan hubungan antara Institusi Diraja dengan Demokrasi Berparlimen supaya tiada sangkaan yang mengelirukan timbul dalam minda masyarakat.