SHAH ALAM, 30 JANUARI 2023 – Memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. telah ditandatangani pada 25 Januari 2023 yang lalu bertempat di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. UiTM telah diwakili oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan disaksikan oleh Profesor Dr. Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UCNS) manakala Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah diwakili oleh YBhg. Dato’ Masri Haji Razali dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. diwakili oleh Tuan Ramasamy K Veeran. Kolaborasi MoU ini akan menjalinkan hubungan baik dalam menggalakkan kerjasama antara universiti, organisasi dan komuniti.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, hasrat untuk menjadikan UiTM sebagai Universiti Terkemuka Dunia (GRU2025) telah memberikan banyak peluang kepada pihak universiti untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan organisasi dan agensi luar, dan kolaborasi ini memberikan petunjuk kepada permulaan yang cemerlang dan komitmen terhadap kerjasama ini. “Kerjasama bersama pihak MBS diharapkan dapat mengalakkan aktiviti promosi di sekitar Seremban berkonsepkan edu-tourism dalam usaha memperhebatkan tarikan pelancongan di Seremban dan seterusnya menjalinkan hubungan baik bersama komuniti setempat. Program Citra Lorong Seni Seremban UiTM@CLAS yang bertemakan “Dari Kampus ke Lorong Seni”, telah berlangsung dengan jayanya. Pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan telah dilaksanakan sepanjang tiga bulan bermula September hingga Disember 2022 melibatkan 14 jabatan dan fakulti UiTM Cawangan Negeri Sembilan.”
“Malah, terjalinnya MoU UiTM bersama Merchantrade Asia Sdn. Bhd., warga UiTM dapat menikmati pelbagai kemudahan terutamanya dalam pelan pengurusan kewangan digital. Objektif utama ini merangkumi hasrat untuk mewujudkan portal pengurusan kewangan untuk kegunaan seluruh warga UiTM untuk memudahkan proses pembayaran yuran bagi pelajar antarabangsa, pertukaran mata wang secara digital, pembayaran tanpa tunai di kampus-kampus UiTM dan juga pengeluaran wang tunai di seluruh dunia,” jelas beliau.
UiTM berharap agar kerjasama yang terjalin bersama pihak MBS dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. berjalan lancar dan dapat membuahkan hasil yang terbaik bagi kedua-dua pihak demi manfaat kepada semua pada masa kini dan pada masa yang akan datang.