25 Ogos 2022 – Bandar Enstek; Pendedahan tentang kedudukan, peranan dan fungsi Institusi Beraja yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang Utama Persekutuan amat penting dalam kalangan warga kerja Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kursus ini adalah hasil pembangunan modul antara Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) UiTM, Pusat Pembangunan Kompetensi (PPK) ILD UiTM, dan Pusat Kepimpinan Institusi (PKI) ILD UiTM. Kandungan kursus bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesetiaan sebagai seorang warga kerja Universiti Teknologi MARA sekaligus menyemai kefahaman sebenar sebagai seorang penjawat awam yang melindungi, menyokong serta mempertahankan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dan Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja di sembilan buah negeri. Perkara ini adalah sesuai dengan fungsi UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang dibina khusus untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera Sabah, dan Sarawak yang mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi Canselor. Selain itu, warga kerja UiTM hendaklah berperanan sebagai agen pengukuhan Institusi Beraja, khususnya dalam usaha memberikan penjelasan dan membina naratif sebenar berkenaan kedudukan, peranan dan fungsi Institusi Monarki di Malaysia.
Oleh itu, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), UiTM bersama Pusat Pembangunan Kompetensi (PPK) ILD UiTM, dan Pusat Kepimpinan Institusi (PKI) ILD UiTM telah menjalankan satu kursus iaitu Kursus Institusi Beraja dalam Perlembagaan Persekutuan yang dilaksanakan pada 25 Ogos hingga 26 Ogos 2022, bertempat di Bilik Sarana 1, Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Seramai 55 orang warga kerja UiTM telah menghadiri kursus ini yang terdiri daripada Timbalan Rektor HEP, Timbalan Dekan HEP, Penolong Pendaftar di bahagian HEP, Felo-Felo Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Felo-Felo Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), pensyarah-pensyarah serta staf-staf pentadbiran. Penceramah jemputan iaitu Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada warga kerja UiTM supaya mereka boleh berkongsi kepada pelajar-pelajar UiTM tentang kedudukan, peranan dan fungsi Institusi Beraja dalam Perlembagaan Persekutuan.
Objektif pelaksanaan kursus ini ialah untuk meningkatkan kompetensi teras para peserta khususnya orientasi keberhasilan serta kerja berpasukan, membudayakan nilai ESI dan i-DART di dalam pekerjaan seharian, dan menjunjung tinggi fungsi Institusi Raja-Raja sebagai payung negara di Malaysia. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Mizan Bin Hitam, Penolong Naib Canselor Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) kerana sudi bekerjasama dengan Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dalam menjayakan kursus ini dan tidak lupa juga kepada Ts. Mohd Rafizi Bin Rahmad selaku Timbalan Pendaftar Kanan dan Pengarah Pusat Pembangunan Kompetensi (PPK) ILD, UiTM dalam menyampaikan ucapan aluan sebelum kursus bermula. Turut berterima kasih atas bantuan yang telah dicurahkan oleh Encik Abdul Qaiyum Bin Abdul Razak selaku Penolong Pendaftar Kanan dan semua warga kerja di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Bandar Enstek. Ucapan terima kasih juga kepada Encik Rahman Naim Bin Mat Ali selaku Penolong Pendaftar Kanan dan semua warga kerja Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu yang telah memberi komitmen terbaik dalam menjayakan kursus ini.
Sebanyak 5 Modul yang telah dikongsikan oleh penceramah. Modul 1 (Bahagian I) bertajuk Pengenalan kepada Amalan Sistem Beraja dan Modul 1 (Bahagian II) bertajuk Peranan Raja dalam Proses Kemerdekaan dan Gubalan Perlembagaan. Modul ini memperkenalkan tentang amalan Sistem Beraja serta peranan Raja dalam proses kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan. Terdapat perbezaan sistem Monarki di dunia ini iaitu Sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Raja Mutlak. Selain itu, dalam proses untuk mencapai kemerdekaan, Raja-Raja telah melantik Suruhanjaya Reid bersama Baginda Ratu England untuk mengdraf Perlembagaan. Baginda Raja-Raja memperkenan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Parlimen dan baginda juga menegaskan kepentingan institusi Majlis Raja-Raja, kedudukan orang-orang Melayu, kedudukan negeri-negeri, menjaga kepentingan komuniti-komuniti lain dan memperkenan konsep kewarganegaraan dengan menyatukan konsep kerakyatan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak lupa juga baginda Raja-Raja jugalah yang telah menandatangani Perjanjian Kemerdekaan pada 5 Ogos 1957. Modul 2 pula bertajuk Institusi Beraja sebagai Kerangka Asas Perlembagaan Persekutuan. Di dalam modul ini, penceramah telah memberi pengenalan asas Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Institusi Beraja yang termaktub di dalam Perlembagaan. Modul ini juga mendedahkan bagaimana caranya penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan tafsirannya dilakukan.
Modul 3 bertajuk Konsep dan Amalan Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Modul ini akan menjelaskan kepada peserta tentang konsep dan amalan Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Sejarah-sejarah tentang bagaimana wujudnya sistem Raja Berperlembagaan dalam negara ini turut didedahkan. Modul 4 bertajuk Kedudukan, Peranan dan Fungsi Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan. Di sini peserta didedahkan tentang kewujudan Majlis Raja-Raja yang merupakan institusi induk yang merealisasikan pembetukan dan pembinaan Negara Malaysia. Tambahan pula, Majlis Raja-Raja juga berperanan dalam proses gubalan Perlembagaan Persekutuan. Modul 5 pula bertajuk Kedudukan, Peranan dan Fungsi Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan. Modul yang terakhir ini menyentuh Yang di-Pertuan Agong dengan Perlembagaan Persekutuan. Tiga cabang kuasa negara iaitu Badan Eksekutif, Badan Legislatif dan Badan Kehakiman kesemuanya ada berkait rapat dengan fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong. Hal ini juga ada dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Setiap penerangan modul yang diberikan oleh penceramah turut disertakan dengan soalan pengukuhan supaya dapat menilai tahap kefahaman dan keberkesanan peserta tentang Institusi Beraja. Seterusnya, aktiviti memberi pandangan dan pendapat juga turut dijalankan bagi tujuan percambahan pemikiran serta penambahbaikan. Oleh itu, kesetiaan dan kefahaman kepada Institusi Beraja perlu diterap dalam minda warga kerja UiTM supaya ia dapat dikongsi kepada orang ramai khususnya kepada para pelajar UiTM. Ia juga mewujudkan hubungan yang baik antara Institusi Beraja dan pelajar-pelajar yang begitu jelas sekali bahawa mereka inilah yang akan menguruskan negara pada masa hadapan nanti. Perkongsian yang dibuat juga dapat mengekalkan kerelevanan Institusi Beraja dalam Negara Malaysia.