Pada 17 sehingga 19 November 2023 yang lalu, Unit Kepimpinan Pelajar (UKP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perak telah berjaya menganjurkan Kem Teraju Mahasiswa bertempat di Sentosa Eco Park, Chenderiang, Tapah, Perak Darul Ridzuan.
Program kepimpinan pelajar ini telah disertai oleh seramai 62 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin persatuan dalaman pelajar melibatkan dua kampus UiTM Cawangan Perak iaitu Kampus Seri Iskandar dan Kampus Tapah. Kumpulan mahasiswa ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar merentasi program pengajian seperti Kolej Pengajian Alam Bina, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan. Program ini juga turut disertai oleh 10 orang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2022/2023 sebagai fasilitator yang membantu menggerakkan dan memimpin sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK).
Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk menyaring bakal calon MPP bagi sesi 2023/2024 selain mempertingkatkan kompetensi bakal calon agar lebih cerdas, berdaya saing, cekal dan mempunyai jati diri yang tinggi. Inisitiaf ini juga dapat mempersiapkan bakal calon agar lebih bersedia untuk memimpin mahasiswa di peringkat universiti pada masa hadapan.
Antara slot yang diadakan semasa program ini berlangsung termasuklah ceramah, LDK dan sesi aktiviti fizikal seperti berkayak, night walk, water confidence dan water rafting. Sesi outdoor ini turut dibimbing oleh kakitangan terlatih Sentosa Eco Park. Sesi ini dapat bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada para peserta, bahkan ia dapat meredakan sedikit tekanan dan merehatkan minda mahasiswa daripada kepadatan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, apatah lagi ia berlangsung dalam suasana alam yang mendamaikan. Inisiatif seperti ini juga dapat membantu mahasiswa memupuk semangat kerjasama inklusif dalam pasukan, membudayakan pemikiran kreatif dan menanam semangat kepimpinan yang berkualiti.
Bagi menjamin program kekal terpimpin, satu slot ceramah bertajuk “Road to Be A Good Leader” turut diadakan. Ceramah ini telah disampaikan oleh Pensyarah dan Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), UiTM Cawangan Perak iaitu Puan Najma Binti Azman yang juga merupakan Certified Leadership Trainer, daripada Institute of Leadership and Management (ILM), United Kingdom. Antara intipati ceramah tersebut adalah seperti Characteristics of Effective Leadership, Top 10 Leadership Skills, dan satu sesi refleksi yang menguji semangat kerjasama antara ahli pasukan.
Program turut dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Sr. Dr Mohd Azian Zaidi. Beliau turut menitipkan hasrat dan bekalan nasihat buat bakal calon pemimpin mahasiswa ini agar dapat memberikan komitmen terbaik apabila dilantik sebagai pemimpin pelajar kelak. Matlamat dan visi yang berlandaskan kepada kemenjadiaan pelajar menjadi fokus utama agar matlamat Universiti Teknologi MARA sebagai Global Renowned University menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan.
Sebagai penutup, program ini bukan sahaja memberi faedah besar kepada mahasiswa, malahan turut memberi manfaat kepada staf-staf BHEP yang terlibat dalam urustadbir dan tatkelola pengendalian program bermula dari menyiapkan kertas kerja sehingga kepada pelaksanaan aktiviti. Progam 3 hari 2 malam ini juga dapat memupuk kerjasama erat unit-unit di bawah pusat tanggungjawab BHEP UiTM Cawangan Perak dalam menjayakan pembangunan kemahiran insaniah dan kognitif mahasiwa.
Laporan oleh: Najma Binti Azman (Felo IMPAK), Professor Madya Sr. Dr Mohd Azian Zaidi (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar), Mohd Shahril Abdul Rashid (Koordinator Unit Kepimpinan Pelajar), Mohammad Safwan Suimi (Pegawai Eksekutif BHEP)