Inisiatif Kemudahan Dan Fasiliti Yang Mesra Pengguna Terhadap Mahasiswa OKU

SHAH ALAM, 1 NOVEMBER 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sentiasa cakna dan peka akan kebajikan mahasiswa khususnya mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) yang perlu diambil berat serta selaras dengan aspirasi YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor yang amat mementingkan kebajikan pelajar. Sehubungan itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi YBhg. Datuk Naib Canselor khususnya daripada segi kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh UiTM kepada mahasiswa OKU.

Pelbagai inisiatif kemudahan dan fasiliti telah diwujudkan demi menjaga kebajikan mahasiswa OKU dalam aktiviti seharian dan penjagaan diri terutamanya di UiTM. Pertamanya adalah kemudahan kolej kediaman yang lebih mesra pengguna kepada mahasiswa OKU seperti menyediakan bilik penginapan khas seperti di kolej-kolej kediaman UiTM Shah Alam. Seterusnya, BHEP UiTM juga mengambil berat daripada segi penyediaan tandas khas OKU yang dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan yang mengikut perspektif tandas khas golongan OKU.

Selain itu, penyediaan parkir khas mahasiswa OKU turut disediakan di ruang parkir kolej-kolej kediaman, fakulti, pusat kemudahan dan sekitar dalam kampus yang memberikan ruang khas serta keutamaan kepada mahasiswa OKU. Bukan itu sahaja, UiTM juga menyediakan laluan pejalan khas kepada mahasiswa OKU seperti ramp yang direka bentuk khas kepada mahasiswa OKU yang menggunakan kerusi roda. Setelah menjalankan tinjauan khas Cakna Mahasiswa OKU di bawah inisiatif BHEP UiTM, didapati penyediaan makanan percuma kepada mahasiswa OKU turut diusahakan oleh UiTM Kampus Alor Gajah, Melaka. Unit Pengurusan Kebajikan Pelajar (UPKP), BHEP UiTM juga mengambil berat akan kebajikan mahasiswa OKU dalam penyediaan pelbagai perkhidmatan seperti Tabung Kebajikan Pelajar, Bantuan Pelajaran, Tabung Kecemasan Pelajar dan Skim Perkhidmatan Kesihatan Pelajar.

Bagi memastikan segala inisiatif yang telah dirancang dan diwujudkan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan berterusan, BHEP UiTM sudah pastinya memantau secara berkala dan melantik ketua-ketua bahagian untuk sentiasa cakna dan peka akan inisiatif yang telah dijalankan. Kerjasama kepimpinan mahasiswa juga penting seperti Jawatankuasa Perwakilan Kolej, Sekretariat Mahasiswa Fakulti dan Majlis Perwakilan Pelajar dalam menjadi perantaraan dengan pihak pengurusan BHEP UiTM untuk menyalurkan sebarang permasalahan ataupun pandangan dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terjaga.