SHAH ALAM 28 NOVEMBER 2023 – “International-Malaysia Professional, Innovation and Networking” (IMPIAN) 2023 merupakan program hasil kerjasama antara Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan juga Fakulti Teknologi Pertanian, Institut Pertanian Bogor (IPB). Program yang dijalankan secara fizikal pada 9 hingga 16 November 2023 di Bogor dan Jakarta ini menyaksikan kerjasama erat antara kedua-dua belah pihak bag menjalankan program khidmat komuniti, perkongsian professional, perpindahan teknologi dan perkongsian budaya. Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program adalah Seedergy dan “Summer Program”.
Aktiviti Seedergy dijalankan di Desa Mulyasari Pakubumi, Bogor menerapkan elemen pertanian pintar. Hasil kepakaran pelajar dari bidang kejuruteraan UiTM, mereka berjaya menghasilkan teknologi Aeroponic yang mengintegrasikan teknologi solar dan penanaman bertingkat (“vertical farming”). Teknologi ini bertepatan untuk dijalankan di Desa Mulyasari kerana akses kepada tenaga elektik yang terbatas di kawasan tersebut. Kerja-kerja pemasangan alat ini juga mendapat bantuan dari pihak IPB dan juga warga kampung di Desa Mulyasari. Teknologi ini telah diserahkan kepada wakil penduduk, Ustaz Abi Sufyan selepas sesi pembetangan dari pihak pelajar kepada penduduk.
Seterusnya, peserta program didedahkan dengan teknologi pertanian bersama pakar IPB dan juga UiTM. Program dimulakan dengan pengenalan kepada “Agribusiness and Technology Park” (ATP) dan penghasilan tenaga bio oleh Ir. Sri Endah Agustina. Diikuti pula dengan sesi pengenalan kepada Teori Penyelesaian Masalah Inventif (TRIZ) oleh AP Dr. Ir. Mohamad Ali Ahmad dari UiTM yang juga merupakan penasihat program ini. Aktiviti diteruskan lagi dengan pengenalan teknologi terkini yang digunakan oleh pihak IPB dalam pengurusan ATP termasuk penggunaan Agrovoltaic untuk tujuan pengairan yang disampaiakan oleh Pn Lilis Sucahyo. Peserta program juga dibawa melawat ke tempat teknologi ini digunakan dalam operasi seharian. Pengisian program yang berimpak tinggi ini dilihat dapat memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di universiti kepada bidang pertanian. Selari dengan perkembangan teknologi, bidang pertanian moden juga semakin mendapat tempat dan permintaan bukan sahaja di dalam, malah di luar negara.
Selain dari itu, program pertukaran budaya juga turut dijalankan bagi peserta program berkongsi perihal bahasa, makanan, pakaian tradisional dan budaya antara dua negara ini. Aktiviti ini dilihat dapat memberi pendedahan kepada semua peserta tentang kekayaan budaya di antara Malaysia dan Indonesia. Selain dari itu, perkongsian ini dilihat dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk berkomunikasi dengan pelajar mahupun pakar antarabangsa. Majlis penutup program ini diadakan di IPB dan telah dihadiri oleh Dr. Ir. Edy Hartulistyoso, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Biosistem, IPB dan juga AP Ir Dr Muhammad Ali Ahmad, UiTM.
Pengarah IMPIAN 2023, Ainon Atikah Jafri menyatakan bahawa semua usaha daripada pelbagai pihak untuk persiapan dan pelaksanaan program IMPIAN 2023, dengan membawa elemen profesionalisme, inovasi, dan rangkaian di kalangan pelajar kejuruteraan yang mewakili Malaysia di Indonesia, amat dihargai. Para peserta tidak hanya berpeluang menguruskan program dan berinteraksi secara dalaman, tetapi juga berjaya berkomunikasi dan berhubung dengan industri luar, memberikan impak positif yang melibatkan lebih daripada 100 orang komuniti setempat, termasuk Jabatan Pertanian Malaysia, Kedutaan Malaysia di Jakarta, pihak IPB, dan komuniti petani Desa Mulyasari Pakubumi, Bogor, Indonesia.
Berdasarkan impak program yang besar kepada peserta dan juga masyarakat terlibat, aktiviti yang dijana oleh The Institute of Chemical Engineers-UiTM-Student Chapter (IChemE-UiTM-SC) ini dilihat dapat diteruskan pada tahun yang akan datang dengan aplikasi teknologi yang lebih matang dan meluas. Program yang berpaksikan kepada perpindahan teknologi (technology transfer), tanggungjawab komuniti global (Global Social Responsibility) dan juga perkongsian professional (Professional Sharing) perlu disebarluaskan kepada pelajar untuk memupuk sifat warga global yang bertanggungjawab. Maklumat lebih lanjut berkenaan program ini boleh didapati di Instagram rasmi IMPIAN 2023 @impian_2023.