ILMU ASAS PERTOLONGAN CEMAS BANTU PELAJAR SIAP SEDIA JALANI LATIHAN INDUSTRI

Pada 9 Ogos 2023 (Rabu), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah dijemput bagi menyampaikan satu taklimat mengenai Asas Pertolongan Cemas kepada pelajar-pelajar Program Sijil Pastri serta Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara Kolej Komuniti Tasek Gelugor (Kampung Selamat). Taklimat ini merupakan persediaan bagi pelajar-pelajar yang akan menjalani latihan industri yang akan bermula pada hujung Ogos 2023 ini.

Penceramah yang juga seorang Pensyarah Jabatan Kejururawatan FSK iaitu Puan Norsuraya Hassan telah dibantu oleh seorang fasilitator iaitu Encik Muhammad Irsyad Mahd Nor (Jururawat/ Pengajar Klinikal) bagi menyampaikan sesi taklimat ini kepada lebih kurang 20 orang pelajar Kolej Komuniti tersebut. Pelbagai ilmu Asas Pertolongan Cemas telah dikongsikan kepada pelajar bagi membolehkan mereka berhadapan dengan sebarang kejadian kecemasan kelak. Antaranya ialah mengenai peralatan pertolongan cemas, cara-cara pembebatan, pembalutan dan anduh, jenis kecederaan dan cara merawatnya serta tidak ketinggalan, pelajar-pelajar telah didedahkan dengan cara-cara yang betul melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).

Bagi pelajar-pelajar yang akan menjalani latihan industri ini, kemungkinan mereka terdedah dengan pelbagai kecemasan seperti perdarahan disebabkan penggunaan pisau atau alatan tajam yang lain, kebakaran dan melecur, pengsan, tercekik, renjatan elektrik dan banyak lagi bahaya yang mungkin berlaku. Maka diharapkan, melalui perkongsian dan pendedahan awal mengenai Asas Pertolongan Cemas ini dapat membantu mereka melakukan rawatan awal terlebih dahulu sebelum mendapat bantuan pasukan perubatan atau dibawa ke hospital. Rawatan awal ini dapat menstabilkan dan mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk dan mungkin dapat menyelamatkan nyawa.