5 April 2023 – Program Iftar bertema Hikayat 1001 Malam telah menyemarakkan bulan kemuliaan bulan Ramadhan 1444H di perkarangan Kolej Pengajian Alam Bina, Shah Alam. Setelah hampir 3 tahun program sebegini terhenti akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, program yang dianjurkan oleh Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) seperti ini dapat diadakan dalam keadaan meriah dan bersederhana. Program Iftar ini telah dihadiri pengurusan tertinggi UiTM iaitu dari Pejabat Timbalan Naib Canselor ICAN, Prof. Hariri Abdullah, Prof Dr Muhammad Hussain Ismail, dan Prof Madya Dr Mahathir Ladisma yang sudi hadir dari bermula program sekitar jam 6.15petang. Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan diikuti tazkirah ramadhan yang diimarahkan oleh Imam Mu’awwid Al-Ansori bin Datuk Seri Dzulkefly, Alumni KAB dan berbuka puasa. Seusai berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah, majlis diteruskan dengan persembahan alunan nasyid dan nyanyian selawat dari anak-anak kesyangan BaitulHidayah. Program diteruskan secara santai dalam merapatkan ukhwah sesama warga KAB, tetamu dan hadirin.
Matlamat program Iftar Ramadhan ini bertujuan untuk menyambut bulan Ramadhan Mubarak dengan penuh keikhlasan bersama-sama warga Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), anak-anak yatim dari Baitulhidayah, pelajar-pelajar Kolej Alam Bina, industri, komuniti dan alumni. Program yang melibatkan 220 hadirin sedikit sebanyak dapat mengalakkan keterlibatan dari jaringan industri dan alumni bersama-sama warga Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) untuk meraikan anak-anak yatim, pelajar Asnaf KAB dan persatuan pelajar dari setiap pusat pengajian.
Dengan adanya program seperti ini, ianya dapat merapatkan ukhuwah antara pelajar, anak-anak yatim, pensyarah, pengurusan fakulti, Industri, komuniti dan alumni selain menggalakkan warga KAB untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan kelompok komuniti anak-anak yatim dengan menjalinkan satu perhubungan yang muhibbah. Semoga program-program seperti ini dapat diadakan dalam menganjurkan pelbagai aktiviti Bersama jaringan industri, alumni dan komuniti di masa akan datang.