Hikers With ZB V2 : Rakam Kenangan Indah di Hutan Cadamba

Seramai 73 pelajar Kolej Zamrud/Baiduri UiTM Cawangan Selangor (UCS) Kampus Puncak Alam telah menyertai Program Hikers With ZB V2 yang telah diadakan di Hutan Cadamba pada 08 Januari 2023 oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Zamrud/Baiduri.

Program ini merupakan salah satu aktiviti fizikal iaitu mendaki bukit yang mana menyajikan panorama alam yang indah. Program yang dianjurkan adalah bagi melahirkan pelajar lebih aktif dan sihat serta untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Program dimulakan dengan senaman ringan yang bersesuaian serta taklimat ringkas mengenai teknik mendaki yang selamat. Selesai bacaan doa, pendakian dimulakan dengan suasana yang ceria dan penuh semangat. Para peserta telah dibimbing oleh pengiring daripada Unit Kokurikulum UCS dan juga Polis Bantuan UCS yang berpengalaman dalam memastikan keselamatan mereka semasa mendaki. Perjalanan mendaki bukit memakan masa selama 2 jam. Peserta bergerak dengan perlahan-lahan dan berhati-hati kerana jalan yang ditempuh cukup curam dan licin. Walaupun mencabar, semangat peserta tidak padam. Mereka bersama-sama menolong dan membantu satu sama lain untuk sampai ke puncak.

Di puncak bukit, peserta dihidangkan dengan pemandangan yang indah serta udara yang segar. Rasa letih dan lelah yang dirasakan semasa mendaki bukit, hilang digantikan dengan rasa gembira dan puas. Setelah selesai berehat di puncak bukit, peserta kembali ke bawah dengan selamat. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan.

Disamping itu juga, aktiviti Go Green turut dijalankan sepanjang program mendaki bagi memupuk semangat kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar. Para pelajar diminta mengutip sampah yang ada di sepanjang pendakian bagi memastikan persekitaran hutan kekal bersih dan tidak dicemari sampah sarap.

Tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Saudari Nur Whidda Sofea Mohd Redzuan dan kepada semua barisan JPK Zamrud/Baiduri yang terlibat kerana berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya. Terima kasih kerana telah berusaha untuk memberi pengalaman yang bermanfaat dan mengujakan kepada para peserta.

Disediakan oleh : Firdaus Shukor, Ruhaida Sabron