HEP UiTM Cawangan Sarawak bantu pelajar melalui Misi Bantuan Banjir

KOTA SAMARAHAN- Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Cawangan Sarawak telah mengambil satu inisiatif untuk turun padang bagi membantu pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sarawak yang telah terkesan oleh bencana banjir ekoran fenomena hujan lebat dan air pasang besar yang melanda baru ini. Pada 21 Januari 2020 (Khamis), Program UiTM Prihatin: Misi Bantuan Banjir telah berjaya dilaksanakan melalui lawatan dari rumah ke rumah pelajar yang terjejas di sekitar kawasan Kuching. Antara lokasi yang terlibat ialah Kampung Bintawa, Kampung Kudel, Kampung Tupong, Kampung Sungai Maong, Kampung Sungai Bedil dan Taman Malihah.

Usaha murni ini telah diketuai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya ChM. Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin sebagai wakil Rektor UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama pihak Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YApeim) dan JOBN UiTM Sarawak. Sumbangan yang diberikan oleh pihak UiTM Cawangan Sarawak berbentuk makanan kering yang dianggarkan bernilai RM200.

Seramai 10 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan. Diharapkan dengan bantuan ini, pelajar-pelajar ini dapat menarik nafas lega dan tidak terlalu terbeban oleh bencana yang telah berlaku.