Harmoni Loves Nature 2.0 Anjuran Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis

23 Jun 2024 – Persatuan Belia Harmoni UiTM Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan program HARMONI Loves Nature 2.0 bertempat di Taman Eko-rimba Bukit Ayer, Perlis.

Objektif utama program ini ialah untuk mengeratkan silaturahim di antara ahli persatuan dan peserta di samping menanamkan sifat dan semangat cintakan alam semulajadi. Program ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi di antara mahasiswa selain dapat menanam sifat keberanian dan kepercayaan serta memberi peluang kepada para mahasiswa untuk menonjolkan kemampuan diri secara individu mahupun berkumpulan.

Program ini telah dihadiri oleh 38 orang peserta dari pelbagai fakulti seperti Fakulti Sains Gunaan, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik dan lain-lain. Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang memerlukan semua peserta melakukan regangan badan yang ringan. Seterusnya program dimeriahkan lagi dengan aktiviti suai kenal yang memerlukan semua peserta memperkenalkan diri masing-masing dengan cara yang unik. Aktiviti kemuncak yang dinantikan ialah para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti memasak.

Program diakhiri dengan jamuan makan dan sesi bergambar. Para peserta diberikan masa untuk menikmati alam semulajadi sebelum bertolak pulang ke kampus. Maklumbalas dari para peserta amat memberangsangkan. Semoga Persatuan Belia Harmoni UiTM Cawangan Perlis dapat meneruskan program seperti ini di masa akan datang.