Raub, 7 Jun 2024 – Satu program “Majlis Anugerah Dekan dan Mentor-Mentee KPPIM” telah berjaya dilaksanakan oleh Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub pada hari Jumaat, 7 Jun 2024 iaitu pada minggu 10 kuliah. Program ini telah berlangsung selama 3 jam setengah bertempat di Dewan Titiwangsa, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, bermula dari jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 6.30 petang. Program yang berkonsepkan akademik dan sukan ini menggabungkan dua acara, iaitu MAJLIS ANUGERAH DEKAN KPPIM dan MENTOR-MENTEE KPPIM yang melibatkan dua program pengajian iaitu program Diploma Sains Komputer (CDCS110) dan Diploma Statistik (CDCS111), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Jumlah keseluruhan pelajar yang menghadiri program ini ialah seramai 396 orang. Seramai 309 pelajar adalah daripada program Diploma Sains Komputer (CDCS110) manakala 87 adalah pelajar daripada program Diploma Statistik (CDCS111). Prorgam ini juga telah dihadiri oleh 24 orang pensyarah KPPIM, UiTM Cawangan Pahang.
Program bermula dengan MAJLIS ANUGERAH DEKAN KPPIM yang bertujuan untuk meraikan keputusan cemerlang yang telah dicapai oleh pelajar-pelajar CDCS110 dan CDCS111 pada semester Oktober 2023 – Februari 2024. Secara keseluruhan, sebanyak 283 Sijil Anugerah Dekan dan cenderahati telah disampaikan kepada pelajar secara berkumpulan memandangkan penerima Sijil Anugerah Dekan pada kali ini adalah sangat ramai. Sebanyak 48 sijil Anugerah Dekan dan cenderahati telah disampaikan kepada pelajar CDCD111 dan sebanyak 235 kepada pelajar CDCS110.
Sijil Anugerah Dekan dan cenderahati ini telah disampaikan oleh Yang Berusaha Dr Saharani bin Abdul Majid, Penolong Rektor UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub sebagai tanda penghargaan seterusnya memupuk semangat pelajar yang lain untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan.
Sejurus selepas itu, program MENTOR-MENTEE KPPIM pula dijalankan. Program ini merupakan platform perjumpaan di antara Mentor – Penasihat Akademik (pensyarah KPPIM) bersama mentee (pelajar CDCS110 dan CDCS111) masing-masing. Acara berbentuk sukan yang melibatkan semua pelajar dan pensyarah telah dilaksanakan untuk memupuk ukhwah di antara pensyarah dan pelajar KPPIM di samping memberi motivasi kepada pelajar berdasarkan konsep ESI-iDART. Dua permainan telah dijalankan di mana di dalam permainan pertama setiap kumpulan mentee diberikan 200 batang penyedut minumam. Dengan bimbingan pensyarah akademik, setiap mentee perlu merekabentuk dan menghasilkan sebanyak mungkin objek dengan menggunakan penyedut minuman tersebut. Di dalam permainan kedua, mentee dikehendaki membaling objek-objek yang telah dihasilkan tadi ke dalam bakul. Daripada aktiviti permainan yang telah dijalankan ini, dapat dilihat pelajar-pelajar melakukan perbincangan dan komunikasi dalam kumpulan bagi mendapatkan idea untuk menghasilkan objek yang banyak dan dapat digunakan untuk balingan yang tepat. Pelajar juga sangat teruja dan fokus menghasilkan objek terbaik untuk bersaing dengan kumpulan mentee yang lain. Pensyarah akademik juga duduk bersama mentee untuk memberi idea dan bimbingan. Di samping itu, secara tidak langsung pensyarah akademik mengambil kesempatan untuk memberikan tips persediaan peperiksaan akhir dan juga mendapatkan maklumat terkini pelajar masing-masing berkaitan status subjek, pembelajaran terkini, markah penilaian berterusan, subjek yang sukar dipelajari, bantuan komunikasi bersama pensyarah mengajar, memberikan motivasi, persediaan menghadapi peperiksaan akhir, serta peringatan tatacara dan peraturan peperiksaan akhir dan hal-hal akademik yang lain.
Majlis diakhiri dengan pengumuman pemenang dan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata. Program berakhir pada pukul 6:30 petang dan ditutupi dengan sesi bergambar beramai-ramai. Program ini adalah sangat bermanfaat bagi memastikan pelajar mendapat persediaan mental dan fizikal yang baik sebelum menghadapi peperiksaan akhir serta bermotivasi untuk mendapat anugerah dekan. Program ini juga merupakan saluran terbaik bagi penasihat akademik mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar mereka dari segi mental, emosi, pembelajaran dan lain-lain. Selain itu, program ini membantu penasihat akademik untuk mengesan kelemahan pelajar dalam matapelajaran dan menjadi pengantara antara pelajar dan pensyarah matapelajaran yang mereka lemah.
Penulis bersama : Siti ‘Aisyah Saadan, Rozita Mohamed