Program Harmoni Bantu Baca 2.0 merupakan program kerjasama di antara Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Multimedia & Matematik (KPPIM) UiTM Perlis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah bagi membantu murid sekolah yang keciciran dalam kemahiran membaca dan menulis. Program ini merupakan kesinambungan bagi Program Bantu Baca 1.0 yang telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Perlis pada tahun 2022. Program ini melibatkan 90 orang mahasiswa UiTM sebagai fasilitator dan 50 orang murid Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah.
Ianya telah dijalankan secara berkala sebanyak lima sesi daripada 6 Mei 2023 sehingga 17 Jun 2023 melibatkan 15-20 orang fasilitator dikalangan mahasiswa bagi setiap sesi pembelajaran. Fasilitator dibekalkan dengan bahan bantu mengajar yang sesuai. Pencapaian murid dinilai dan direkodkan oleh fasilitator bagi setiap sesi untuk melihat keberkesanan program. Melalui program Bantu Baca ini, mahasiswa dapat mengukuhkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi melalui aktiviti yang dijalankan bersama murid-murid.
Selain itu, ianya juga menjadi platform kepada mahasiswa untuk menonjolkan kemampuan diri secara individu dan berkumpulan serta mengasah kemahiran interpersonal dan intrapersonal masing-masing. Secara keseluruhan program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada murid dengan jumlah kehadiran yang sangat memuaskan . Lanjutan daripada program ini, pihak sekolah telah bersetuju untuk mengambil beberapa fasilitator dikalangan mahasiswa untuk menjadi tenaga pengajar tetap berbayar bagi program intervensi ini untuk membantu murid-murid yang lemah dan berkeperluan. Kerjasama antara pihak sekolah dan UiTM Cawangan Perlis akan diteruskan lagi pada sesi akan datang.