Persatuan Harmoni UiTM Cawangan Perlis dengan Kerjasama Sekolah Rendah Islam Al- Furqan, Perlis telah berjaya mengadakan Program “Harmoni Bantu Baca” siri 1 pada 5 November 2022. Program yang dijalankan secara berkala ini bertujuan untuk membantu murid sekolah rendah yang keciciran dalam mengusai kemahiran membaca dan menulis. Selain itu program ini jugak dapat memberi peluang kepada Mahasiswa untuk turun ke masyarakat membantu serta melatih sifat kepimpinan dalam diri.
Kesan pandemik yang melanda dunia dapat dilihat apabila murid sekolah rendah tahap satu di kebanyakan sekolah hari ini menghadapi masalah keciciran dalam kemahiran membaca dan menulis akibat gangguan proses pembelajaran yang terlalu lama. Kumpulan pelajar ini masih tidak dapat membaca dengan baik walaupun telah berada di tahun 3. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Modul Khas untuk membantu pelajar keciciran ini yang digunakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Namun begitu, masalah yang dihadapi adalah kekurangan tenaga kerja di pihak sekolah dalam membantu memperbaiki prestasi pelajar-pelajar ini.
Sehubungan itu, Exco Akademik dan Khidmat Masyarakat Persatuan Harmoni UiTM Cawangan Perlis mengambil inisiatif menggerakkan tenaga kerja Mahasiswa UiTM Cawangan Perlis yang berminat dalam gerak kerja sukarelawan untuk menyertai program “Harmoni Bantu Baca”. Dalam program ini, Mahasiswa menjadi fasilitator yang mengajar murid sekolah rendah yang lemah dan keciciran ini membaca serta menulis. Program ini akan diadakan secara berkala mengikut kesesuaian dan hasil pencapaian akan diukur mengikut peningkatan keupayaan murid dalam membaca dan menulis.
Harmoni Bantu Membaca Siri 1 mendapat maklumbalas yang positif dari pihak sekolah dan ibubapa dan murid itu sendiri. Diharapkan program siri 1 dan 2 yang akan dijalankan pada masak akan datang juga berjaya mencapai objektif dengan cemerlang.