14 Mac 2023 menyaksikan Hari Matematik Sedunia 2023 berlangsung di Universiti Teknologi MARA Shah Alam yang telah dianjurkan oleh Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), UiTM. Umumnya, tarikh 14 Mac dipilih sebagai acara tahunan yang dahulunya dikenali sebagai Pi Day kerana tarikh tersebut adalah simbolik kepada tiga digit pertama pemalar matematik Pi, 3.14. Sambutan Hari Matematik Sedunia ini telah diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific, dan Cultural Organization (UNESCO) pada 26 November 2019 di mana sambutan pertama didokumentasikan berlangsung di San Francisco Exploratarium oleh Pakar Fizik Larry Shaw pada tahun 1988.
Bertepatan dengan tema IDM 2023 iaitu “Mathematics for Everyone”, UiTM dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) telah menyusun pelbagai aktiviti menarik berteraskan matematik dari 6 hingga 14 Mac 2023. Antaranya, pertandingan olimpiad secara atas talian yang menyaksikan penyertaan hampir 200 kumpulan pelajar dari sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan.
Selain itu, pertandingan Art Online dan pertandingan Reels Challenge yang bertemakan Geometric dan “A (Pi) lover is a Pie Lover” masing-masing telah mendapat sambutan menggalakkan di semua peringkat umur. UiTM IDM 2023 turut menjayakan bengkel peningkatan kemahiran bertajuk “Math Apps by Maple”. Bengkel yang telah ditaja oleh MyREN Sdn Bhd bertujuan membina kesedaran dan perkongsian maklumat akan aplikasi penggunaan matematik di dalam urusan harian. Ceramah bengkel telah disampaikan oleh Professor Madya Rahidzab Talib (pensyarah Kolej Kejuruteraan, UiTM Shah Alam) yang merupakan pengajar bertauliah dan diiktiraf oleh Maple.
Pada hari kemuncak UiTM IDM 2023, satu sesi webinar “Malaysian in Heritage” dijalankan secara kacukan yakni di ruang KPPIM, serta atas talian melalui aplikasi Webex dan YouTube. Sesi webinar berinformasi ini dimeriahkan dengan kehadiran penceramah dari UiTM Machang, Kelantan, Pn Wan Norliza Wan Bakar dan turut disertai Pn Suffina Long dari UiTM, Mukah, Sarawak. Sesi webinar tersebut diakhiri dengan video “Malaysian Culture 101” yang memperkenalkan budaya Malaysia. Acara diteruskan dengan majlis penutup UiTM IDM 2023 sebagai simbolik penutup Hari Matematik Sedunia UiTM 2023. Majlis tersebut diwarnai dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor UiTM, Professor Dr Mohammad Hariri Abdullah dan juga Penolong Naib Canselor KPPIM, Professor Ts Dr Haryani Haron.
Kesimpulannya, sambutan IDM 2023 UiTM telah mencapai kejayaan besar dengan acara itu turut dilaporkan oleh www.idm314.org