Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 9 Jun 2022: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menjalankan program tahunan persatuan iaitu Hari Aduan Fakulti 1.0 secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Microsoft Teams pada 9 Jun 2022 (Khamis). Program ini telah menjemput seramai 50 orang mahasiswa yang terdiri daripada persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam. Objektif program ini dijalankan adalah untuk mewujudkan platform bagi para mahasiswa agar mereka dapat berkongsi mengenai masalah mereka dengan lebih mudah dan membantu pihak pengurusan fakulti dalam mengenalpasti masalah yang berlaku di dalam fakulti seterusnya memudahkan penyaluran penyelesaian kepada masalah tersebut.
Dalam pengisian program Hari Aduan Fakulti 1.0 ini, terdapat dua slot yang dijalankan di mana pada slot pertama, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Sains Kesihatan sesi 2021/2022 iaitu Saudari Nursyamila Binti Mohd Noordin dan Saudara Muhammad Syazwan Bin Arbangi, bersama-sama dengan Presiden SMF Fakulti Sains Kesihatan sesi 2021/2022 telah mengulas dan memberi penyelesaian kepada isu-isu berbangkit atau aduan yang telah dikumpul melalui Borang Aduan Fakutli Bulanan yang telah disebarkan melalui Google Form. Terdapat banyak isu-isu berbangkit seperti isu kekurangan bas dalam kampus yang telah dibincangkan semasa slot pertama.
Pada slot kedua, para peserta telah diberi peluang untuk mengajukan soalan kepada kedua-dua MPP dan Presiden SMF melalui pautan Padlet yang telah dikongsi dengan peserta. Para peserta telah mengambil peluang ini untuk bertanya mengenai masalah-masalah yang sering berlaku seperti masalah Wi-Fi di kolej dan juga masalah berkaitan dengan kafe. Kebanyakan persoalan dan kemusykilan para peserta telah dijawab dengan baik oleh kedua-dua MPP dan juga Presiden SMF.
Dengan berlangsungnya program ini, para mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan telah berpeluang untuk menyuarakan masalah yang dihadapi dan juga secara tidak langsung memupuk sifat bertanggungjawab dan amanah dalam diri mahasiswa serta mendidik mahasiswa untuk menjadi lebih telus dalam melaporkan kekurangan dalam fakulti. Pada akhir program, dapat dilihat bahawa semua objektif program telah dicapai dengan jayanya hasil kerjasama semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Secara keseluruhannya, diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang agar para mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan menjadi lebih berani untuk menggunakan suara mereka demi kebaikan mahasiswa sendiri dan juga fakulti.