Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Perak telah mengadakan Bengkel Perancangan Strategik di Bilik ILQAM di UiTM Cawangan Perak pada 31hb Januari 2024. Para penceramah yang berkaliber dijemput untuk memberi pendedahan kepada para pensyarah APB dari kampus Seri Iskandar dan Tapah. Bengkel Perancangan Strategik APB dibahagi kepada lima sesi. Penceramah yang dijemput untuk sesi kedua adalah Profesor Madya Dr Nor Fazlin Mohd Ramli. Beliau adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Akademi Pengajian Bahasa.
Beliau memberi taklimat bertajuk ‘Halatuju APB 2024’ yang memberi pencerahan mengenai misi, visi dan nilai APB. Beliau menegaskan mengenai komitmen APB dalam menguruskan Program Akademik dan kursus-kursus peringkat universiti secara profesional bertujuan melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan mampu berdaya saing di peringkat global dan bukan sahaja lokal. Profesor Madya Dr Nor Fazlin juga mengingatkan para pensyarah mengenai penambahbaikan berterusan yang harus dilakukan demi menaikkan nama universiti di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung meningkatkan visibiliti APB sebagai akademi bertaraf dunia.
Di antara sasaran yang harus dicapai adalah mencapai enrolmen 2,200 pelajar menjelang tahun 2025 dan memastikan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran dengan memastikan kurikulum bagi program dan keseluruhan kursus universiti disemak setiap 3 hingga 5 tahun. Selain daripada itu, kadar kebolehpasaran graduan sarjana muda melebihi 85% sehingga 31 Disember 2025, bilangan penerbitan berindeks mencapai 150 penerbitan berindeks setahun serta bilangan geran penyelidikan mencapai RM 800 ribu menjelang tahun 2025.
Profesor Madya Nor Fazlin juga memberi penekanan ke atas 4 teras yang berikut: pembelajaran dan pengajaran; hal ehwal pelajar dan kepimpinan (pemerkasaan mahasiswa); penyelidikan, penerbitan, inovasi dan pengkomersilan; serta jaringan, industry, komuniti dan alumni.
Melalui taklimat yang diberi beliau, para pensyarah Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Perak telah diberi suntikan semangat dalam menyediakan sokongan menyeluruh kepada pihak universiti demi melahirkan golongan graduan professional yang berjaya, mampu berdaya saing di mana sahaja, serta meningkatkan imej universiti di persada dunia.