HADRAH 7.0 : MENYANTUNI MASYARAKAT SAMBIL BERAMAL.

Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh telah menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam membina hubungan kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial melalui program Corporate Social Responsibility (CSR) di Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya, Pulau Pinang. Dikala orang lain memanfaatkan waktu hujung minggu mereka bersama keluarga, pada hari Ahad, 19 Mac 2023 bersamaan dengan 26 Syaaban 1444 H yang lalu telah berlangsung aktiviti gotong-royong yang melibatkan warga fakulti serta mahasiswa dan mamasiwi bersama ahli jawatan kuasa Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Program HADRAH kali Ke-7 (HADRAH 7.0) merupakan program tahunan bagi Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, tanggungjawab melahirkan siswa dan siswi yang berkualiti bagi industri adalah antara agenda UiTM. Walaubagaimanapun, tanggungjawab terhadap komuniti dan masyarakat amat penting bagi merialisasikan misi dan visi UiTM. Objektif utama program ini adalah untuk berkongsi nikmat kesyukuran bersama masyarakat setempat dengan bertemakan “Untukmu, Kerana-Nya”. Program ini juga trurut dijadikan satu medium dalam mendekatkan komuniti dan universiti. Justeru, aktiviti gotong-royong ini merupakan salah satu pengisian dalam senarai aktiviti program HADRAH 7.0 yang dijalankan sebelum menjelang bulan ramadhan al Mubarak. Seramai 57 sukarelawan yang terdiri dari 36 pensyarah dan pelajar telah bersama-sama dalam menjayakan aktiviti gotong-royong tersebut. Proses pembersihan dibahagikan kepada beberapa zon mengikut kesesuaian aktiviti pembersihan. Hal ini bagi memastikan kerja pembersihan dapat dilaksanakan secara keseluruhan dan memastikan keselesaaan Jemaah masjid ketika melaksanakan solat fardu dan solat sunat tarawih selain mengeratkan silaturrahim.

Selain itu, pada bulan ramadhan, turut akan berlangsung aktiviti seperti memasak bubur lambuk bersama komuniti setempat, agihan bubur lambuk, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf. serta majlis berbuka puasa bersama komuni setempat, agensi kerajaan bersama pembesar negeri.

Semua pengisian berkenaan akan dilakukan pada tarikh yang telah dipersetujui pada bulan ramadhan. Selaku Pengarah Program, Dr. Norhamizan Hamir telah berjaya merialisasikan aktiviti gotong-royong berkenaan. Justeru dengan pelaksanaan program HADRAH 7.0 ini, ia secara tidak langsung dapat memupuk keprihatinan terhadap komuniti setempat dan memberi sumbangan dalam bentuk tenaga selain membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik dikalangan warga serta mahasiswa dan mahasiswa. Secara keseluruhan aktiviti gotong-royong ini telah berjalan lancar dengan kerjasama dan koordinasi ahli jawatan kuasa Masjid Al Muhajirin dan Ahli Jawatankuasa HADRAH 7.0.