ITS Global Engagement, Kampus Institut Teknologi Sepuluh Nopember Surabaya, Indonesia telah menganjurkan Guest Lecture Series, (GLS) mengenai Matlamat Pembangunan Lestari 2021 (SDGs). Memadangkan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah terjalin antara Universiti Teknologi MARA, Ts. Duratul Ain Tholibon, Pensyarah Kanan, dari Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah dilantik sebagai Penceramah untuk topik Kejuruteraan Air dan Air Sisa yang telah dijalankan pada 23 Mac 2021, Selasa.
Beliau telah memberikan kuliah mengenai pengetahuan asas tentang sumber air dan teknologi terkini yang digunakan dalam pengurusan air dan air sisa. Ini sejajar dengan tema SDG 6.0 iaitu air bersih dan sanitasi. Sesi ini mendidik masyarakat setempat mengenai pengurusan air yang betul, mempromosikan secara aktif penggunaan air yang betul, menyokong pemuliharaan air, dan menerapkan teknologi pengekstrakan air yang lestari bagi kawasan luar kampus. Selain itu, program ini adalah kerjasama yang baik antara institusi pengajian tinggi luar negara dan juga melibatkan banyak kerajaan tempatan, nasional, global dan agensi air kebangsaan.
ITS menjemput pelajar dan peserta dari seluruh dunia untuk menyertai 40 tajuk ceramah yang telah dipilih mengenai SDGs.
Program ini berlangsung bermula dari bulan Mac hingga Jun 2021 iaitu bersempena Spring Season 2021. Setiap perjumpaan dijalankan setiap hari Selasa dan Rabu yang berlangsung selama 100 minit termasuk sesi kuliah umum dan sesi Soal Jawab. GLS SDGs adalah percuma dan pendaftaran akan dibuka setiap hari Khamis dan akan ditutup setiap hari Isnin sebelum acara individu berlangsung. Manfaat dan kepentingan program ini adalah untuk memperoleh pengetahuan dan pengalaman di forum antarabangsa, meningkatkan jaringan akademik dan penyelidikan dan juga menyediakan sijil dan pertandingan antarabangsa untuk peserta.
Diharapkan lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan dengan kolaborasi antara Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pahang, Kampus Jengka dan institusi pengajian luar negara kerana ini dapat mendorong para pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam sesi tersebut.