ARAU, 29 September 2023 – Program Gotong Royong Perdana UiTM “Kita, Kampus Dan Alam” di kawasan sekitar UiTM Cawangan Perlis telah selesai diadakan pada pagi ini. Program ini merupakan anjuran Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur (PPII) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Program ini berlangsung secara serentak di UiTM Shah Alam dan di seluruh kampus cawangan yang melibatkan pelajar baharu yang sedang mengikuti Minggu Destini Siswa (MDS). Di UiTM Cawangan Perlis, program ini melibatkan hampir 2000 orang pelajar dan 160 staf UiTM.
Sasaran yang ditetapkan bagi program ini adalah untuk mencapai penyertaan teramai bagi penganjuran Program Gotong – Royong Perdana di Malaysia Books of Record. Beberapa pensyarah Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) turut terlibat dalam program ini. Sebelum bermula program, setiap ketua lokasi program memberi sedikit penerangan program kepada peserta. Tempat program telah dibahagikan kepada beberapa lokasi antaranya Tasik Ilham, Hutan Semarak, Anjung Siswa, Anjung Siswi, Jalan Sepanjang Pintu Masuk Utama, Planters Height, Bangunan Hal Ehwal Akademik dan Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan.
Dengan adanya program sebegini dapatlah mengeratkan ukhuwah sesama pelajar dan staf UiTM khasnya UiTM Cawangan Perlis. Program ini juga bagi menyahut hasrat Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti untuk melihat kesatuan dan kerjasama daripada semua kampus cawangan termasuk jabatan/ bahagian/ fakulti/ pusat/ unit untuk melaksanakan program gotong-royong perdana dan diteruskan sebagai satu budaya UiTM.