Gotong-royong Memupuk Kerjasama Pelajar Program Perancangan Bandar dan Wilayah dan Komuniti

Program Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat Universiti (USR) di Masjid Manek Urai Baru, Kuala Krai, Kelantan. Program ini dijalankan pada 26 Mei 2023 (Jumaat). Program ini melibatkan 28 orang pelajar Semester Akhir daripada Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah Sesi Mac – Ogos 2023 diringi dua (2) orang pensyarah iaitu TPr. Hjh. Maimon Hj. Ali dan Dr Puteri Yuliana Samsudin. TPr. Hjh. Maimon Hj. Ali merupakan Koordinator Program Perancangan Bandar dan Wilayah dan Penasihat Program Khidmat Masyarakat Universiti (USR) ini. Program ini telah mendapat kerjasama dan sokongan pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), kariah Masjid Manek Urai Baru dan penduduk setempat. Program USR ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai segala objektif yang telah digariskan.

Penganjuran program ini telah memberi manfaat kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat supaya lebih bertanggungjawab, hormat menghormati serta bantu membantu sesama komuniti setempat. Dalam masa yang sama pelajar juga dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat semasa aktiviti gotong royong dijalankan.

Program ini juga memberi peluang kepada komuniti untuk bekerjasama dengan pihak universiti dan KESEDAR dalam melaksanakan aktiviti yang berstruktur dan mampan bagi meningkatkan sosio-ekonomi setempat.