S.T.E.M adalah akronim kepada Science, Technology, Engineering dan Mathematics. STEM adalah satu program pendidikan yang dibina dengan menggabungkan 4 bidang mata pelajaran ini. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar akan kemahiran yang diperlukan dalam era modenisasi ini serta menggalakkan pengalaman hands-on dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan dalam bilik darjah pengetahuan “dunia sebenar” yang relevan. Selain daripada itu, STEM ini juga dapat meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi justeru membolehkan mereka bersaing dengan pelajar lain di seluruh dunia dan membantu mereka dalam mempersiapkan diri untuk pekerjaan di masa hadapan.
Penang Science Cluster (PSC) dengan kerjasama dari Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dan Centre of Innovation Tengku Ampuan Afzan (CINTAA) telah mengambil peluang dan ruang dengan memainkan peranan dalam memperkenalkan dan menyampaikan pengetahuan dalam bidang STEM kepada masyarakat setempat khususnya kepada pelajar perempuan. Justeru satu program telah berjaya dilaksanakan iaitu program “Girls in STEM”. Program anjuran bersama ini telah mendapat kebenaran dan sokongan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Asian Venture Philantrophy Network (AVPN).
“Girls in STEM” adalah program yang direka khas untuk pelajar-pelajar perempuan dari sekolah rendah dan sekolah menengah, khususnya daripada sekolah kawasan pedalaman dan daripada masyarakat yang kurang mendapat pendedahan untuk mempelajari dan menerokai bidang STEM. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan bahawa pelajar perempuan juga mempunyai kebolehan dan kecekapan untuk menerima cabaran dengan menggalakkan minda pertumbuhan dalam bidang STEM ini. Bukan itu sahaja, program ini juga penting bagi mengasah kemahiran teknikal dan insaniah selain menggalakkan lebih ramai pelajar perempuan untuk menyambung pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang yang berteraskan STEM terutamanya kejuruteraan dan sains komputer.
Program ini telah berlangsung selama 5 hari bermula dari 12 Jun 2023 (Isnin) sehingga 16 Jun 2023 (Jumaat) dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Program ini adalah bertujuan untuk memupuk minat dalam bidang STEM dari awal zaman persekolahan dengan menghubungkan pengalaman STEM dan mempromosikan pembelajaran hands-on di kalangan pelajar perempuan. Fasilitator adalah dari kalangan pensyarah Pengajian Sains Pengkomputeran, KPPIM UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, pelajar Diploma Sains Komputer (CS110), urusetia dari PSC dan CINTAA. Fasilitator telah menyertai Training of Trainers (ToT) pada 12 Jun 2023 (Isnin) bagi mempelajari dan mendalami terlebih dahulu modul-modul yang akan disampaikan kepada pelajar nanti. Program ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu Girls in STEM (Junior), Girls in STEM dan Girls in STEM (Senior).
Seramai 303 orang pelajar perempuan dari 7 buah sekolah (5 sekolah rendah dan 2 sekolah menengah) telah terlibat sepanjang program ini berlangsung. Pelajar sekolah rendah telah terlibat dalam Girls in STEM Junior pada 13 Jun 2023 (Selasa) sahaja dan mereka adalah dari SK LKTP Tersang 1, SK LKTP Tersang 3, SJK Tamil Raub, SJKC Cheroh dan SJKC Sungai Lui. Pelajar menengah rendah (Tingkatan 1-3) pula telah terlibat dalam Girls in STEM pada 14 Jun 2023 (Rabu) dan mereka adalah dari SMK SEGA dan SMK (P) Methodist Raub. Seterusnya pelajar menengah atas (Tingkatan 4 dan 5) pula terlibat dalam Girls in STEM Senior selama 2 hari iaitu dari 15 Jun 2023 hingga 16 Jun 2023 (Khamis dan Jumaat). Setiap sekolah diiringi oleh sekurang-kurangnya 2 orang guru pengiring.
Pelbagai modul berkaitan STEM telah dipelajari oleh pelajar antaranya adalah Modul Sains seperti menghasilkan mesin otot dengan menggunakan bahan yang diberi, kejuruteraan biologi dan penggunaan Foldscope untuk melihat cell. Seterusnya mereka juga mempelajari Modul Teknologi seperti penggunaan Raspberry Pi Pico dan MicroBit. Para pelajar diberi pendedahan akan bahasa pengaturcaraan , konsep digital elektronik dan penggunaan komputer. Para pelajar juga turut mempelajari Modul Kejuruteraan seperti Safe Lander di mana pelajar dikehendaki untuk membina dan menghasilkan satu ciptaan yang bertujuan untuk pendaratan selamat serta Cabaran Glider di mana pelajar dikehendaki menghasilkan satu ciptaan yang boleh terbang jauh.
Selain daripada itu, pelajar juga diberi pendedahan dan persediaan untuk kerjaya dengan mendalami Modul Persediaan Kerjaya. Pelajar didedahkan dengan kepentingan rangkaian dan perhubungan (networking) apabila dalam dunia pekerjaan nanti. Networking BINGO adalah satu aktiviti di mana peajar dikehendaki untuk berhubung dan berinteraksi dengan setiap pelajar bagi mencari persamaan antara satu sama lain.
Secara keseluruhannya, pelajar bukan sahaja mempelajari teori, malah terdedah dengan hands-on dan aktiviti dalam berkumpulan justeru dapat meningkatkan pemahaman, dan minat mereka. Pelajar kelihatan seronok dan teruja dalam menerokai dunia STEM ini dan mereka berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi nanti.