Dalam usaha bagi memupuk kesedaran kepentingan literasi kewangan dikalangan pelajar sekolah, seramai 32 orang pelajar semester 3, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Puncak Alam telah mengadakan program “Get Rich Slowly : Plan Financial at Early Stage” bertempat di Dewan Utama Perpustakaan Awam Selangor, Sungai Besar. Program yang diadakan padi 14 Disember 2023 ini telah dihadiri oleh 74 orang pelajar Tingkatan 3 daripada Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah, Sungai Besar, Selangor. Penganjuran program ini adalah dengan kerjasama Unit ICAN, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan merupakan tugasan projek matapelajaran Personal Financial Planning (FIN533) yang merupakan kursus SULAM fakulti.
Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti tentang ilmu berkaitan kewangan dan kesedaran tentang kepentingan menguruskan kewangan. Selain itu, program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada para pelajar membina hubungan baik, berinteraksi dan bekerjasama secara efektif dengan wakil dari komuniti serta memantapkan teknik berkomunikasi dengan pihak komuniti . Disamping itu, dengan program ini diharapkan dapat memberi pengalaman pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti kepada para pelajar.
Program dimulakan dengan ceramah daripada Puan Nor Akila Mohd Kassim, pensyarah matapelajaran Personal Financial Planning dengan tajuk “Kepentingan Literasi Kewangan”. Seterusnya, para peserta melaksanakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang berbentuk praktikal seperti permainan “Pick the Fries”, “Ping Pong Debt”, “Cari Saya” dan “Kau Kunci Langkahku”
Diharapkan lebih banyak program-program seperti ini dapat dilaksanakan oleh para pelajar, sebagai pendedahan awal kepada mereka terutama sekali dalam kemahiran berkomunikasi dan pengurusan program. Dengan berlangsungnya program seperti ini, lebih ramai mahasiswa yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dapat dilahirkan oleh pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM). Penglibatan mahasiswa turut memberi impak positif bukan sahaja pada diri pelajar malah kepada UiTM khususnya.