TAWAU : Solat Sunat Tarawih berjemaah berjaya dilaksanakan atas inisiatif pelajar siswa Pra Pendidikan Tinggi Pra Diploma (Perdagangan) Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau selama 2 minggu bermula pada 2 hingga 17 April 2022 bertemakan Gerak Ramadan Gerak Prihatin. Program Kepimpinan Surau Pelajar Siswa ini memberikan sumbangan pembangunan holistik kepada pelajar universiti dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan aspek kerohanian.
Imam dan Bilal di kalangan pelajar bertugas secara bergilir mengikut jadual yang dikeluarkan oleh Ketua Surau Siswa dan telah dipersetujui oleh Staf Residen Kolej (SRK). SRK bertindak sebagai penasihat program dan bersama-sama menunaikan Solat Tarawih berjemaah di Surau Kolej Siswa. Penyertaan juga dibuka kepada semua pelajar siswi muslim untuk hadir.
Sejurus selepas Solat Witir, SRK akan menyampaikan Sesi Perkongsian Ilmu (SPI) tidak melebihi 20 minit kepada semua pelajar. Antara topik SPI yang disampaikan adalah seperti asas dan rukun-rukun dalam solat, adab masuk tandas dan penyucian, penyediaan dan praktik membasuh pakaian solat, mandi hadas besar, praktik mengambil wuduk, pengertian, sejarah & kegunaan Surah Al Fatihah dan huraian Surah An Nur ayat 35.
Di samping itu, program ini turut memberi peluang kepada warga UiTMCSH Kampus Tawau untuk memberi sumbangan berbuka puasa beramai-ramai pada 8 April 2022 dan Majlis Makan Malam Penutupan Program pada 17 April 2022. Selain itu, sumbangan diberikan kepada pelajar berbentuk makanan dan minuman untuk jamuan Moreh selepas Solat Tarawih di sepanjang program berlangsung.
Akhir sekali, Majlis Penutupan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus dan seterusnya menyampaikan watikah pelantikan Kepimpinan Surau Pelajar Siswa bagi semester Mac – Ogos 2022.
Cincin Marjan Selendang Satin
Tari Kumbang Memukau Batin
Gerak Ramadan Gerak Prihatin
Mari Menyumbang Serlah UiTM Prihatin