FSKM UiTM Tandatangan Memorandum Persetujuan Dalam Penyelidikan Makanan Halal

SHAH ALAM, 16 OGOS – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Guangzhou Institute of Software Application Technology (GZIS) dan Intelligence Traceability Sdn Bhd (iTRACE) untuk menjalankan kerjasama penyelidikan antara universiti, agensi antarabangsa dan industri tempatan melalui penyelidikan kerjasama antara kerajaan dalam bidang Inovasi Sains dan Teknologi. Majlis ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan UiTM Global, mewakili Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.

Memorandum ini ditandatangani antara Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, Encik Li Yin, Naib Presiden Institut Teknologi Aplikasi Perisian Guangzhou, dan Encik Tay Wee Huat, Pengarah Urusan Intelligence Traceability Sdn Bhd.

Di dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Profesor Dr Shahriman Zainal Abidin , Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor berkata, “UiTM perlu memanfaatkan kuasa perkongsian strategik – dengan agensi antarabangsa dan tempatan, bersama masyarakat, dan juga dengan kerajaan. Apabila sumber berkurangan, dan apabila cabaran meningkat, ini menjadi penting. Penyelidikan secara sendiri tanpa jalinan kerjasama strategik, tidak lagi menjadi model yang berkesan untuk berdaya maju dalam penyampaian kajian sains terkemuka dunia.”

“Melalui MoU ini, kami menyedari bahawa dalam era kesalinghubungan dan saling bergantung ini, perkongsian kerjasama bersama rakan kongsi antarabangsa dan industri tempatan bukan lagi satu pilihan tetapi suatu keperluan. Kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan kemahiran penyelidikan, malah akan memberi pengalaman mengenai dunia sebenar untuk kakitangan dan pelajar UiTM.”

Beliau juga menambah bahawa, UiTM sedang mengorak langkah untuk mengembangkan rangkaian kerjasama globalnya bagi memastikan menjelang 2025 ia menjadi universiti yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam bidang Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan. Pada masa yang sama, ekosistem penyelidikan UiTM diharap dapat ditingkatkan dan terus menghasilkan penyelidikan yang cemerlang dalam rantaian bekalan makanan halal.

Majlis turut dihadiri oleh Profesor Ts Dr Haryani Haron, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik ,Profesor Dr Faridah Hassan , UiTM Global dan rakan-rakan strategik industri dari Halal Development Corpration, iConnect Akademi Sains Malaysia serta Huawei Malaysia.