FSKM dan Rakan Kolaborasi Bergabung untuk Projek Rezeki Ramadan 2021

Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM bersama-sama dengan 80 orang sukarelawan daripada pelajar FSKM telah mengagihkan sebanyak 500 pek makanan juadah berbuka puasa kepada para pelajar UiTM Shah Alam yang berada di kolej kediaman bagi meringankan beban pelajar akibat daripada penularan wabak Covid-19.

Projek Rezeki Ramadan 2021 ini merupakan satu inisiatif dari SMF FSKM sesi 2021/2022 yang turut melibatkan Kelab Kembara Insani, Kelab dan Persatuan Dalaman FSKM serta Kolej Kediaman Delima, UiTM Shah Alam sebagai rakan kolaborasi. Projek ini telah berlangsung selama 5 hari yang bertempat di perkarangan Pejabat Kolej Kediaman Delima, UiTM Shah Alam bermula daripada 20 April 2021 sehingga 24 April 2021. Penasihat program ini adalah Dr Adzhar Rambli dan Puan Sanizah Ahmad yang juga merupakan penasihat bersama SMF, FSKM UiTM manakala pengarah bagi projek ini adalah saudara Muhammad Irfan Arif Mohammed Ridzuan, selaku Presiden SMF FSKM sesi 2021/2022.

Proses pengagihan pek makanan juadah berbuka puasa ini turut diserikan lagi apabila menerima kunjungan daripada Yang Berbahagia Profesor Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Profesor Ts. Dr Haryani Haron, Dekan FSKM, Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Shaharuddin Cik Soh, Timbalan Dekan HEP FSKM, dan Saudari Az-Zarith Huda Samsuddin, Majlis Perwakilan Pelajar FSKM sesi 2020/2021.

Pelaksanaan projek ini menitiberatkan tiga matlamat daripada Sustainable Development Goals (SDG) iaitu “Goal 1: No Poverty”, “Goal 2: Zero Hunger” dan “Goal 3: Quality Education”. Untuk matlamat pertama dan kedua ianya berjaya dicapai melalui aktiviti pengagihan makanan manakala bagi matlamat ketiga ianya dicapai melalui aktiviti kempen kesedaran yang dijalankan oleh sukarelawan terlibat seperti contoh “#NoWastingFood”.

Pihak SMF, FSKM UiTM Shah Alam sesi 2021/2022 berharap agar projek ini dapat memberi peluang dan ruang kepada mahasiswa khususnya para pelajar FSKM untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dengan lebih giat dan seterusnya dapat melahirkan mahasiswa UiTM yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.