PAHANG, 10 Jun 2023 – Pada 8 Jun 2023, Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan satu forum bertajuk: Unity in UCPh. Program ini berlangsung dari pukul 8.20 hingga 9.45 malam menerusi platform Google Meet. Forum ini merupakan salah satu dari siri program dwi-mingguan PERSIDA bagi semester Mac-July 2023. Aktiviti ini dianjurkan bersesuaian dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke 4, iaitu pendidikan berkualiti secara berterusan kepada pelajar. Turut terkesan secara positif adalah SDG 16, iaitu berkaitan keamanan, keadilan dan institusi yang kuat, yang juga berkait dengan kekuatan spiritual pelajar.
Program ini telah dijayakan dengan kehadiran dua tetamu jemputan iaitu Saudari Nur Fatihah binti Roslan dan Saudara Noraeman Amin bin Noraswad. Kedua-dua mereka merupakan pelajar Fakulti Sains Gunaan. Saudari Nur Fatihah merupakan Presiden kelab PEERS UiTM Caw. Pahang, manakala Saudara Noraeman Amin pula merupakan Setiausaha 1 kelab tersebut.
Objektif forum ini adalah untuk menyedarkan para peserta tentang pentingnya sikap berlapang dada dalam menerima perubahan. Selain itu, forum ini turut bertujuan menanamkan rasa ingin mengenali dan mengambil berat antara sesama pelajar tanpa mengira latar belakang dan asal usul. Perkara ini penting dalam membentuk jatidiri pelajar mengharungi cabaran hidup di kampus seterusnya untuk berdepan dengan alam pekerjaan yang pastinya lebih mencabar pada masa akan datang.
Program yang berlangsung selama lebih kurang satu jam setengah itu telah memberi peluang kepada peserta memperoleh tips dan nasihat yang bermanfaat daripada kedua-dua tetamu jemputan mengenai cara untuk bergaul lebih mesra dengan rakan baharu. Tips menangani sikap terlalu introvert juga turut dikongsi oleh kedua ahli panel.
Secara keseluruhan, forum ini berjaya membuka mata setiap peserta agar bersikap lebih terbuka dalam pergaulan harian antara sesama pelajar, serta menjaga adab dalam berkomunikasi dengan orang di sekeliling mereka. Aktiviti sebegini diharap dapat diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja berjaya dalam akademik malah cemerlang dalam akhlak dan adab.