Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) UiTM Pahang Kampus Raub telah menjayakan Program Forum Budi Bahasa Budaya Kita – Potensi Luar Biasa Orang Kelainan Upaya pada 16 Jun 2023. Melalui Biro Pemantapan Akademik FPP, program ini berjaya mencapai matlamat dalam menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar untuk menyantuni golongan kelainan upaya. Forum telah menampilkan ahli panel yang terdiri dari seorang tokoh OKU Cikgu Mohd Huzaire bin Haji Ahmad dan Kaunselor UITM Kampus Raub iaitu Puan Rosfarhani binti Daud. Kedua-dua panel telah mengupas lebih dalam lagi berkenaan isu-isu berkaitan OKU dalam masyarakat dan cara untuk menanganinya.
Peserta adalah terdiri daripada sejumlah 171 orang pelajar daripada Diploma Pengajian Perniagaan (BA 111) dan Diploma Pengurusan Perbankan (BA 119). Kesemua mereka adalah ahli Business Society. Sementara itu, program ini dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar terutamanya pelajar Bahagian 2, melalui penganjuran pelajar dilatih dengan kemahiran menguruskan program, berkomunikasi, dan kepimpinan. Disamping itu, program turut menerapkan nilai-nilai murni dan adab pergaulan dengan golongan kelainan upaya. Dalam masa yang sama membentuk persepsi yang betul di kalangan pelajar kepada golongan kelainan upaya dan menghalang diskriminasi terhadap golongan ini.
Forum telah dimoderatorkan oleh pelajar BA111 Nur Athirah Binti Shamsul Arif bersama ahli panel iaitu Cikgu Mohd Huzaire bin Haji Ahmad dan Puan Rosfarhani binti Daud. Moderator telah mengajukan soalan kepada kedua-dua panel secara berselang seli. Soalan-soalan yang ditanyakan adalah seperti cabaran-cabaran yang Cikgu Huzaire harungi menjadi seorang guru OKU. Sementara kepada Puan Rosfarhani adalah berkenaan bagaimana untuk melayan dan adab semasa berinteraksi dengan golongan OKU. Input yang diperolehi daripada kedua-dua panel ialah keyakinan dan kepercayaan dalam diri untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sememangnya dugaan dan cabaran itu amat berat dan tak ubah seperti memikul seketul batu yang besar. Namun begitu, sama ada suka ataupun tidak kita harus menerima cabaran dan dugaan yang datang dalam hidup kita dengan penuh redha dan berlapang dada. Jadi kita perlu yakin dengan kebolehan diri sendiri walaupun kita mempunyai banyak kekurangan dari segi fizikal dan juga mental.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat individu yang bersikap negatif terhadap kebolehan kita. Cikgu Huzaire menegaskan bahawa kekurangan itu tidak menghalangnya daripada menjadi seorang guru yang hebat, walaupun ada yang tidak yakin dengan keupayaannya untuk mengajar dalam keadaan berkerusi roda. Ini bermakna kita mesti berjuang dan menjadikan setiap perkara yang negatif sebagai inspirasi untuk berjaya. Walaupun golongan orang kurang upaya memiliki perbezaan fizikal dan ciri-ciri zahir yang lain berbanding golongan normal tetapi hak kehidupan mereka tidak boleh dinafikan dan tidak wajar diketepikan sama sekali.
Forum berlangsung selama lebih kurang sejam dan pelajar juga diminta untuk menanyakan soalan kepada ahli panel. Cikgu telah memberikan hadiah cenderahati kepada pelajar yang terlibat. Seterusnya, pelajar diajak untuk menyertai kuiz atas talian menggunakan aplikasi Quizizz. Kuiz ini mengandungi 20 soalan berkaitan dengan kesedaran tentang orang kurang upaya, adap dan kesopanan dan latar belakang UiTM. Contoh soalan kuiz ialah bilakah sambutan hari Orang Kurang Upaya (OKU) sedunia? Melalui soalan-soalan ini pelajar akan mendapat pendedahan yang lebih meluas tentang fakulti dan UiTM. Pelajar yang memungut mata paling tinggi menerima hadiah setelah program tamat. Seterusnya, upacara penutup dilakukan dengan nyanyian lagu UiTM Di Hatiku dan diakhiri dengan sesi fotografi. Semua pelajar dan para jemputan diminta menikmati minum petang ringkas di kafe pentadbiran.
Adalah diharapkan program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja memberi impak positif kepada dalam menyantuni orang kelainan upaya. Ia penting untuk menghalang diskriminasi kepada golongan ini dan memastikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat maju tanpa ada mana-mana golongan yang tercicir.