FORUM “Best Practices for Psychomotor Assessment” dan “Positioning Graduate’s Employability through Digital Portfolio”

 

Siri webinar Forward Thinking Assessment telah diteruskan dengan kerjasama Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) dan Collaborative Group Alternative Assessment & E-Portfolio dengan dua forum yang bertajuk “Best Practices for Psychomotor Assessment” dan “Positioning Graduate’s Employability through Digital Portfolio”. Pengarah BPPA, Professor Madya Ts Dr. Syamsul Nor Azlan sebagai moderator pada sesi forum yang diadakan secara back-to-back pada Jumaat, 30 Julai 2021, bermula pada jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang.

 

Forum yang diadakan pada sesi pagi menyentuh tentang pentaksiran psikomotor yang menampilkan barisan panel (Dr. Ahmad Rithaudin Md Noor, Timbalan Dekan HEP Fakulti Muzik, Dr Ani Mazlina Dewi Mohamed, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Mohd Taufik Zamri@Zimri, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan) berpengalaman dalam pentaksiran yang melibatkan kemahiran psikomotor pelajar. Latar belakang panel dari pelbagai bidang berjaya memberikan ulasan dari sudut pandang yang berbeza dalam penilaian pentaksiran praktikal.

Pelbagai soalan tentang pentaksiran kemahiran psikomotor pelajar sebelum dan semasa pandemik telah diutarakan oleh moderator kepada ahli panel. Rata-rata peserta berpuas hati dengan perkongsian ahli panel, terutamanya apabila mereka berkongsikan tentang amalan baik yang diamalkan oleh mereka di dalam pengajaran dan pentaksiran yang dilakukan ketika semester yang terpaksa dilakukan secara open and distance learning (ODL). Melalui maklumbalas yang diberikan, peserta menyuarakan hasrat mereka untuk mencuba amalan – amalan baik yang telah dikongsikan oleh ahli panel. Sesi pagi ditamatkan dengan bertenaga oleh ahli panel yang terdiri dari tenaga pengajar.

Kemudian forum disambung pada sesi petang yang menampilkan barisan ahli panel hebat industri; (Ryan Ng, Head of Public Sector Malaysia, Linkedin, Nazrul Aziz, Head of Graduate & Emerging Talent, Head of Industry & Partner Ship Talentcorp Malaysia dan Noor Irwan Junaidy, Chief Creative Officer R&D Studio). Forum pada sesi petang, fokus kepada amalan semasa penyediaan portfolio graduan yang dialu-alukan oleh pihak industri.

Ahli panel juga telah membincangkan tip-tip untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, terutamanya melalui pengumpulan data pencapaian pelajar, seperti tugasan yang dihasilkan oleh graduan sepanjang sesi pembelajaran mereka di peringkat universiti. Hasil pencapaian pelajar boleh disimpan secara digital, dan hendaklah dimulakan pada awal pengajian.

Forum “Best Practices for Psychomotor Assessment” dan “Positioning Graduate’s Employability Through Digital Portfolio” telah ditonton secara serentak seramai 744 penonton, dan telah diulang tonton sebanyak 4,199 kali di siaran YouTube BPPA. Rata-rata warga akademik yang terdiri dari warga UiTM dan IPTA di Malaysia menyatakan penghargaan kepada BPPA kerana mereka masih dapat mengikuti forum yang dianjurkan melalui YouTube terutamanya mereka yang tidak dapat turut serta semasa sesi diadakan secara langsung.

Peserta forum telah memberikan diskusi yang baik melalui chat box yang disediakan di pelantar YouTube. Komunikasi dua hala yang berlaku diantara ahli panel dan penonton meskipun melalui chatbox di YouTube telah menyumbang kepada perbincangan yang lebih organik dan relevan. Moderator juga telah melakukan tugas yang cemerlang dalam mengendalikan perbincangan serta memastikan peserta di YouTube tidak berasa “disconnected” dari ahli perbincangan ahli panel.

Siri webinar forward thinking assessment anjuran BPPA dan CG Alternative Assessment dan E-Portfolio telah mendapat sambutan baik dari warga UiTM. Siri webinar ini akan diteruskan lagi dengan pentaksiran kemahiran berangka (numeric) dan seterusnya pentaksiran dan penilaian yang meliputi hasil-hasil pembelajaran (learning outcomes) yang terdapat di dalam kerangka Malaysian Qualifications Framework (MQF). BPPA amat berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh warga UiTM terhadap semua sesi webinar yang telah dijalankan. Semoga perkongsian yang telah diadakan dapat memberi manfaat kepada semua warga UiTM.